Siakap Keli
Gambar hiasan(besar) & Gambar Kejadian via Air Crash Investigation/WSJ

(Video) Tanggal 12 Ogos Tragedi Terburuk Dalam Sejarah, Pesawat Penumpang Terhempas Di Gunung, Ragut 520 Nyawa Pada 1985

Hari ini, 12 Ogos 2021 merupakan tahun ke-36 selepas tragedi meragut nyawa melibatkan Japan Airlines Flight 123. Menurut aerotime.aero, kejadian itu merupakan kemalangan melibatkan pesawat yang terburuk, menyebabkan 520 individu kehilangan nyawa.

Baru sahaja 12 minit berlepas daripada Lapangan Terbang Haneda, Tokyo ke Osaka, pesawat itu dilaporkan mengalami situasi cemas sebelum terhempas berhampiran Gunung Takamagahara kira-kira 32 minit kemudian.

Pesawat yang dikendalikan Kapten Masami Takahama dibantu Yutaka Sasaki itu dipercayai mengalami decompression dan kebocoran pada siling berhampiran tandas, menyebabkan kerosakan terhadap badan pesawat. Situasi ini sekaligus memutuskan keempat-empat saluran hidraulik pesawat, tulis portal itu.

Kegagalan sistem itu menyebabkan pesawat berkenaan berayun dalam kitaran fugoid yang berlangsung selama 90 saat.

Pesawat itu juga dilaporkan turun naik pada altitud 6,100 sehingga 7,300 meter selama 18 minit. Dipercayai, situasi cemas itu juga menyebabkan juruterbang tidak dapat mengawal pesawat dalam keadaan kekurangan oksigen dalam badan mereka.

Berdasarkan rakaman suara dalam pesawat itu, pakar percaya juruterbang terlibat tidak memakai topeng oksigen kerana suara mereka dapat didengari dengan jelas.

Tambah Aerotime, beberapa minit sebelum pesawat terhempas, juruterbang berusaha menstabilkan kapal berkenaan dengan melakukan tujahan pantas namun tidak berjaya.

Kedengaran ucapan saat-saat akhir Kapten Takahama sebelum ia terhempas dan meletup memberitahu mereka tidak lagi dapat berbuat apa-apa.

“Kami tak dapat buat apa-apa sekarang!”

Menjelang malam, Japan Self-Defense Forces (JSDF) dilaporkan telah menemui tapak tragedi itu namun tidak dapat mendarat berikutan gangguan penglihatan serta keadaan yang bergunung ganang.

Juruterbang JSDF mendakwa tiada tanda-tanda mangsa terselamat dapat dilihat daripada udara. Susulan itu, kakitangan JSDF telah dihantar bagi bersiap sedia untuk pencarian pada keesokan paginya.

Menurut Aerotime lagi, staf perubatan telah menemui empat orang individu terselamat daripada 524 keseluruhan penumpang di antara serpihan pesawat. Mereka juga menemui mayat dengan kecederaan yang menunjukkan ramai telah terkorban akibat kejutan dan terbiar semalaman.

Salah seorang doktor dilaporkan berkata, “Jika pencarian dilakukan 10 jam lebih awal, kita boleh temui lebih ramai yang terselamat.”

Salah seorang mangsa terselamat, Yumi Ochiai berkata, dia masih ingat lampu cerah dan bunyi helikopter selepas bangun di tengah-tengah serpihan pesawat. Dia mengaku telah terdengar jeritan dan dengusan daripada mangsa lain, namun suara-suara itu akhirnya hilang sepanjang malam.

Selepas tragedi itu, syarikat penerbangan tersebut telah membayar 780 juta yen (kira-kira RM29.9 juta) kepada keluarga mangsa manakala presidennya, Yasumoto Takagi telah meletakkan jawatan.

Sementara itu, pengurus penyelenggaraan syarikat itu, Hiroo Tominaga serta jurutera yang memeriksa pesawat sebelum penerbangan, Susuma Tajima dilaporkan telah membunuh diri selepas tragedi berkenaan.

Situasi cemas ketika kejadian telah dilakonkan semula bagi menggambarkan detik tersebut.

Sumber: aerotime.aero

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.