Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Pakatan Harapan Ambil Pendirian Tolak Tawaran Perdana Menteri- Ketua Pembangkang

Parti Pakatan Harapan (PH) telah mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibentangkan menerusi ucapan khas pada petang tadi.

Perkara tersebut telah dimaklumkan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan dan dikongsikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Twitter miliknya.

“Pakatan Harapan mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Tan Sri Muhyiddin yang sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau,” kata parti itu.

Mereka juga mengatakan bahawa tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.

PH juga berpandangan bahawa perutusan Perdana Menteri pada petang ini adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Justeru itu, mereka mengatakan bahawa Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan wajib dilaksana, di mana Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan.

“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang,” kata parti itu.

Tambah kenyataan itu lagi, PH juga memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik COVID-19.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan daripada tujuh cadangan mengenai pelaksanaan Rangka Persefahaman Rentas Parti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri pada petang ini.

Sumber: Anwar Ibrahim

Sofea

There's always another side to every story