Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah membentangkan beberapa cadangan berkaitan pelaksanaan Rangka Persefahaman Rentas Parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan jika usul undi percaya di Parlimen bulan depan diluluskan.
Menurutnya, tujuan beliau mengemukakan semua cadangan itu ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.
Beliau juga menegaskan bahawa beliau mahu krisis politik ditamatkan dengan segera dan tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah.
“Saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan dengan segera,” katanya.
Justeru itu, beliau juga menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan tersebut pada minggu hadapan.
“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,” katanya.
Tambahnya lagi, sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan tersebut dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Sumber: Bernama Tv