Terdapat beberapa cadangan pelaksanaan Rangka Persefahaman Rentas Parti yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan khas sebentar tadi.
Antara yang menarik perhatian adalah mengenai Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.
Menurutnya, Rang Undang-Undang itu akan dibentangkan di Parlimen jika kerajaan mendapat sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Sekiranya kerajaan berjaya mendapat sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengatakan bahawa kerajaan akan memperkukuh reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Parlimen lebih seimbang.
Sumber: Bernama TV