Siakap Keli

TERKINI: Sehingga Kini, Tiada Seorang Pun Ahli Dewan Rakyat Dapat Buktikan Ada Sokongan Majoriti- PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa sehingga kini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan mereka ada sokongan majoriti.

Menerusi ucapan khas yang disiarkan pada petang ini, beliau menegaskan bahawa sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat adalah diperlukan bagi membolehkan Perdana Menteri dilantik mengikut perlembagaan.

“Sehingga saat ini, tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong melantik Perdana Menteri yang baharu.

“Jika saya meletakkan jawatan pada masa ini, bukan saya saja yang perlu berhenti. Menurut perlembagaan persekutuan, saya hendaklah meletak jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara akan jatuh,” katanya.

Beliau juga meluahkan kebimbangan mengenai nasib negara jika Perdana Menteri tidak boleh dilantik menurut perlembagaan.

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri tidak boleh dilantik menurut perlembagaan.

“Jadi apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak akan dibentuk, apa akan jadi pada negara kita jika krisis politik ini berlarutan?,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan pelaksanaan Rangka Persefahaman Rentas Parti yang mengandungi beberapa cadangan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dapat diluluskan di Parlimen nanti.

Antara cadangan tersebut adalah usul untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 2 penggal dan akta anti lompat parti untuk dibentangkan di Parlimen.

Sumber: Bernama TV

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.