Atlet lari berpagar Jamaica, Hansle Parchment berjaya menjejaki seorang sukarelawan yang membantunya meminjamkan duit tambang teksi ke stadium Olimpik Tokyo selepas dia tersesat semasa dalam perjalanan untuk acara akhir kejohanan berprestij itu.
Hasil daripada tindakan mulia sukarelawan tersebut, dia telah berjaya memenangi pingat emas dalam acara lari berpagar yang disertainya itu.
Parchment telah memuat naik satu video di laman sosial media pada hujung minggu lalu yang memaparkan dia berjaya menjejaki sukarelawan bernama Tiana yang telah membantunya itu.
Dalam video tersebut, dia telah mengucapkan terima kasih, menunjukkan pingat emas yang dimenanginya, memberi baju pasukan Jamaica dan membayar semula wang yang diberikan oleh Tiana.
“Anda telah memainkan peranan penting dalam membantu saya bertanding dalam acara akhir pada hari itu,” katanya kepada Tiana.
Ganjaran yang diterima Tiana tidak hanya berakhir di situ, ianya kerana, portal Sunday Gleaner melaporkan bahawa Menteri Pelancongan Jamaica berhasrat untuk membawa Tiana mengunjungi pulau Caribbean.
“Walau dimana pun pelusuk dunia dia berada, kami ingin membalas kebaikan yang ditunjukkan kepada salah seorang daripada kami,” kata Menteri Pelancongan Jamaica, Edmund Bartlett, kepada Sunday Gleaner.
Terdahulu, atlet Jamaica itu khuatir bahawa dia akan terlepas bertanding dalam acara akhir 110m lari berpagar pada temasya Olimpik yang lalu selepas dia tersalah menaiki bas yang menuju ke lokasi acara akuatik.
Semua kereta rasmi Tokyo 2020 telah ditempah khas dan jika menaiki bas untuk pulang ke perkampungan Olimpik dan seterusnya pergi ke stadium akan memakan masa. Perkara tersebut juga dilihat akan menyebabkan dia akan kepenatan untuk memulakan acara akhir itu.
“Sekiranya saya melakukan cara sedemikian, saya tidak akan sempat untuk memanaskan badan untuk memulakan acara tersebut. Saya terpaksa cari jalan lain. Saya cuba untuk mendapatkan kereta rasmi temasya itu, tetapi orang-orang ini sangat tegas dan mematuhi peraturan, dan saya harus menempah kereta itu terlebih dahulu untuk mendapatkannya,” katanya dalam video yang disiarkan ke media sosial.
Pada ketika itulah dia terjumpa Tiana. “Saya ternampak sukarelawan ini dan saya terpaksa merayu, “sudah pastilah dia tidak dapat membantu banyak, tapi dia telah memberikan sejumlah wang untuk saya menaiki teksi. Dan begitulah bagaimana saya dapat sampai ke sesi memanaskan badan tepat pada waktunya, dan mempunyai cukup masa untuk bersaing,” ujar Parchment.
Sumber: Irish Times