Pusat Racun Negara dilapor telah mengesan dua kes keracunan melibatkan pengambilan ubat Ivermectin di negara ini.
Menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi Pusat Racun Negara, kedua-dua kes itu membabitkan individu berusia 35 tahun dan seorang warga emas.
“Kes pertama melibatkan pengguna berumur 35 tahun yang mengambil satu biji Ivermectin. Akibatnya, pengguna tersebut telah mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan.
“Kes kedua pula, seorang warga emas dijumpai tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekaligus,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Setakat ini, penggunaan Ivermectin sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Covid-19 di negara ini belum diluluskan, bagaimanapun aktiviti penjualannya secara tidak sah dipercayai sedang giat berjalan.
Malah menurut kenyataan itu, pengambilan Ivermectin tanpa kajian yang mendalam serta dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.
“Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut dan pening. Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru dan kematian.
“Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini. Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri,” tambahnya.

Sumber: Pusat Racun Negara