Korang mesti perasan yang Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini menukar poster kes harian Covid-19 dari warna merah kepada warna biru kan? Mungkin artikel ini antara sebab KKM mengubah warna dari merah kepada biru.
Emosi atau mood kita sehari-hari boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Contohnya kalau kita terima berita gembira, mesti rasa nak senyum je kan sehari tu.
Tapi korang tahu tak, sebenarnya warna pun boleh memainkan peranan terhadap mood seseorang, malah ia boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat.
Misalnya ada satu hari tu, korang nak rasa lebih ceria dan bersemangat, boleh la kenakan baju warna oren sebelum pergi kerja.
Itulah yang dinamakan psikologi warna, dimana warna boleh memainkan peranan terhadap mood korang.
Selain warna oren, warna-warna lain turut mempunyai maksud dan simbolik tertentu yang mempunyai peranan masing-masing terhadap emosi seseorang.

Ini empat warna yang selalu kita nampak dan macam mana ia boleh mempengaruhi emosi:
Merah

Warna merah sering dikaitkan dengan emosi yang kuat seperti cinta, semangat yang berkobar-kobar, atau kemarahan.
Merah merupakan warna universal yang mencerminkan kekuatan, kekuasaan, keberanian, dan bahaya.
Merah memberi sensasi kekuatan dan keterujaan, yang boleh memotivasikan kita untuk bertindak. Ia juga memberi semacam keyakinan kepada mereka yang pemalu dan kurang motivasi untuk mencapai sesuatu.
Biru

Warna biru pula adalah ‘lawan’ kepada merah kerana memberi kesan bertentangan dan sangat berbeza.
Biru melambangkan kepercayaan, ketenangan, dan keamanan. Warna biru menimbulkan aura ketenangan serta mengurangkan rasa tertekan dan ketakutan.
Biru merupakan warna ‘selamat’ yang menjadi kegemaran ramai, tambahan pula dalam dunia korporat. Malah ahli politik juga selalu dilihat mengenakan warna biru.
Kuning

Kuning pula merupakan warna yang melambangkan kebijaksanaan. Kuning juga menjadi simbolik kepada harapan, kegembiraan, dan keseronokan.
Pun begitu, terlalu banyak warna kuning boleh menyebabkan kegelisahan dan keresahan, terutamannya kepada orang yang merasa tertekan.
Oren

Warna oren mencerminkan sifat optimis, keyakinan, dan sokongan. Oren juga mempunyai aura kebahagiaan dengan simbolik kekuatan dari warna merah, dan digabungkan dengan warna kuning yang menunjukkan keceriaan.
Kerana tonnya yang lebih lembut daripada merah, warna oren lebih kelihatan feminin dan memberi satu tenaga untuk mencipta atau melakukan sesuatu.
Tapi korang kena lebih berhati-hati dalam pemilihan golongan warna oren ni, sebab ton warna oren boleh ‘berubah’ bila di bawah sinar matahari yang terik.
Jadi, warna yang mana menunjukkan mood korang harini?
Sumber: London Image Institute