Sekali pandang, rumah agam tiga tingkat ini kelihatan seperti tenggelam dalam banjir. Namun begitu, ia sebenarnya sebuah rumah yang dibina di tengah-tengah sungai Loire, kongsi Oddity Central.
Dinamakan the House in the Loire, struktur ini merupakan idea anak seni Perancis, Jean-Luc Courcoult yang membinanya pada 2007 sebagai salah satu pameran seni, dengan kerjasama sebuah syarikat pembinaan tempatan.
Menurut Oddity Central, bangunan condong itu kini menjadi salah satu tarikan para pelancong yang belayar di sungai berkenaan.

Menariknya, rumah itu merupakan replika sebuah bangunan yang pernah menjadi rumah penginapan terletak di Lavau-Sur-Loire. Replika itu pada awalnya dikhabarkan dibina berhampiran tebing kanan sungai, namun akibat arus kuat, menyebabkan ia terbalik.
Lantaran itu, ia dipindahkan ke sebelah kiri sungai dan ‘diikat’ pada dasar berbatu bagi mengelakkan struktur itu hanyut sekali lagi.
Dikhabarkan, rumah itu juga mempunyai mood seram pada malam hari terutama ketika angin bertiup dan menghasilkan bunyi. Malah, ada yang mendakwa terlihat lampu menyala dalam salah satu bilik, satu situasi di luar kebiasaan bagi sebuah rumah terbiar di tengah sungai.
Sumber: Oddity Central