Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri memohon maaf atas kesilapannya sepanjang perkhidmatannya untuk negara.
Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebooknya berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya itu adalah satu tanggungjawab dan perhormatan daripada Yang di Pertuan Agong untuk beliau.
“Alhamdulillah, 503 hari yang penuh bererti.”
Amanah yang saya terima dengan lantikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Senator dan Menteri adalah tanggungjawab dan penghormatan yang dilaksanakan sedaya upaya saya. Menjunjung kasih atas kepercayaan Tuanku kepada patik pacal yang senantiasa mendoakan kebaikan buat Tuanku.
Sekalung penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana memberi sepenuh keyakinan kepada saya untuk menyumbang kepada negara. Begitu juga tidak dilupakan rakan-rakan kabinet yang sentiasa memberi sokongan.
Terima kasih juga kepada semua Pihak Berkuasa Agama Negeri yang memberikan kerjasama penuh bagi semua urusan melibatkan Persekutuan – Negeri. Pastinya ia adalah untuk manfaat rakyat khususnya umat Islam.
RM591.9 juta telah diagihkan bermula Mac 2020 hingga hari ini melalui inisiatif #Musaadah sejak bermulanya pandemik COVID-19 oleh agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya. Saya minta mereka teruskan walaupun saya telah tiada.
Semua inisiatif kami sepanjang 2002-2021 akan saya bentangkan dalam minggu ini, insya-Allah. Rakyat perlu tahu ke mana setiap sen zakat, infaq, waqaf yang mereka salurkan melalui kami.
Terjemahan Sahih al-Bukhari, Tafsir al-Qur’an al-Bayan dan Terjemahan al-Quran versi al-Bayan adalah hadiah buat seluruh umat Islam di Malaysia. Insya-Allah, tiga kitab yang pasti menempa sejarah dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini sedang dalam urusan percetakan. Saya akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa.
Mohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan saya sepanjang 17 bulan 6 hari ini. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya sayang anda semua.
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Ahli The Muslim Council of Elders, UAE
Ahli The Assembly of Muslim Jurists of America, USA
Sumber: Datuk Dr Zulkifli