JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) — Seorang penjawat awam dan seorang pegawai eksekutif sebuah badan berkanun merupakan antara 10 individu yang ditahan polis dalam serbuan di dua daerah baru-baru ini, kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan ganja dari negara jiran.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam tujuh serbuan pada 8 Ogos di sekitar kawasan Johor Bahru Utara dan daerah Kulai itu, seramai sembilan lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 26 sehingga 48 tahun itu, diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor.
Turut dirampas dalam serbuan berkenaan 174 bungkus ganja seberat 175.65 kilogram yang dianggarkan bernilai RM441,163.
Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyembunyikan ganja itu di dalam ruangan khas menggunakan lori membawa barangan sejuk beku yang telah diubah suai.
“Penjawat awam lelaki itu dipercayai berperanan dalam menguruskan lori membawa ganja terbabit, manakala wanita berkenaan pula menjaga hal-hal kewangan dan setiap daripada mereka yang ditahan ada peranan masing-masing.
“Dipercayai ganja berkenaan diperoleh dari negara jiran menerusi sempadan Kota Bharu, Kelantan dan dibawa ke Johor Bahru untuk pasaran tempatan dan telah beroperasi sejak Disember 2019,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini hari ini.
Ayob Khan berkata turut dirampas dalam serbuan itu adalah dua lori, enam kereta, dua motosikal, wang tunai berjumlah RM45,550, barang kemas bernilai RM16,076 serta satu sitaan akaun bank yang mempunyai wang berjumlah RM6,972.
Katanya hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphethamine, manakala tiga individu pula positif ganja.
Ayob Khan berkata semakan rekod lampau pula menunjukkan tujuh individu yang ditahan mempunyai rekod berkaitan dadah.
Beliau berkata kesemua individu terbabit ditahan reman selama 14 hari bermula 9 Ogos lepas untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: BERNAMA