Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020, Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan antara golongan yang paling teruk terkesan akibat pandemik Covid-19. Peniaga kecil ini bergelut untuk mengekalkan perniagaan mereka malah turut bergelut untuk menyara keluarga akibat hilang pendapatan bulanan. Kerajaan perlu terus memberi perhatian penuh terhadap golongan ini kerana merekalah antara golongan penjana ekonomi di Malaysia selama ini.
Ramai juga PKS Mikro yang hampir ‘gulung tikar’ kerana sudah tidak mampu lagi bertahan untuk menanggung hutang dan kos-kos perniagaan yang saban hari semakin meningkat. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu bahawa kira-kira 580,000 perniagaan yang mewakili 49% dalam sektor PKSM, berisiko lumpuh menjelang Oktober ini jika masih tidak dibenarkan beroperasi.
Apakah bantuan kerajaan kepada mereka yang teruk terjejas ini? Untuk pengetahuan korang, sejak PKP1.0, kerajaan sudah memperkenal Geran Prihatin Khas (GKP) dalam pakej PRIHATIN dan PENJANA sehinggalah pakej PEMULIH PKS dalam membantu meringankan beban sehingga 1juta PKS.
Dalam pakej PEMULIH yang baru diumumkan, tambahan RM1,000 lagi untuk PKS disediakan melalui inisiatif GKP 4.0 yang akan dibayar RM500 pada bulan September dan RM500 lagi pada bulan November 2021. PKS tak perlu melakukan apa-apa pendaftaran untuk GKP 4.0 jika mereka penerima GKP1.0 sehingga GKP3.0. Daripada GKP1.0 hingga GKP4.0, kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM6.08 bilion untuk membantu peniaga-peniaga kecil berhadapan waktu yang sukar.
Selain GKP, antara usaha kerajaan membantu PKS yang terjejas dalam pakej PEMULIH ini adalah pakej moratorium selama 6 bulan yang ditambah baik dengan kelulusan automatik kepada semua pemohon. Untuk usahawan mikro, tiada lagi syarat seperti sebelum ini, dan untuk PKS, ia bergantung kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Ini sedikit-sebanyak mampu meringankan beban PKS dan mikro yang menanggung hutang pinjaman perniagaan ketika ini.
Kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan (MOF) sentiasa memikirkan cara terbaik dan melaksanakan semua inisiatif dalam pakej-pakej ransangan ekonomi yang diumumkan sebaik mungkin. Semoga pandemik Covid-19 ini segera berakhir dan ekonomi negara Malaysia kembali stabil seperti sebelum ini.