Seorang wanita maut manakala dua yang lain termasuk bayi berusia 3 bulan mengalami cedera akibat kenderaan yang dinaiki terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 19.2 Lebuhraya Senai-Desaru, hari ini.
Menurut laporan daripada Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Raya, Pegawai Bomba Kanan II, M. Haridass, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian tersebut kira-kira pukul 2.25 petang tadi.
“Setibanya di lokasi, sebuah kenderaan jenis Nissan Almera dalam perjalanan dari Johor Bharu menghala ke Bandar Penawar terbabas melanggar pembahagi jalan,” jelasnya lagi.
Difahamkan, kereta tersebut dinaiki oleh tiga individu termasuk seorang lelaki berusia 58 tahun dan seorang wanita bukan warganegara berusia 41 tahun dan seorang bayi bukan warganegara.
Wanita berkenaan ditemukan maut di tempat kejadian, pemandu lelaki cedera di bahagian kepala dan tangan manakala bayi perempuannya turut mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail,” katanya.
Sumber: Sinar harian