Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenalpasti sebanyak 43 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini berdasarkan kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang mengenalpasti sebanyak 43 kes varian baharu itu.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 710 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 690 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam satu kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 negara hari ini.
Justeru secara keseluruhannya, terdapat 467 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha bagi VOC, manakala 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta bagi VOI.
Dalam pada itu, sebanyak 293 kes kematian baharu akibat Co-19 direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kematian negara meningkat kepada 13,077 kes.
Sumber: KKM