Berhasrat untuk membantu tetapi telah disalah anggap, seorang lelaki di Algeria dilaporkan telah dipukul, dibunuh dan dibakar pada minggu lalu setelah dituduh menjadi punca kebakaran hutan yang melanda negara itu.
Mangsa, Jamal Ismail, dilaporkan telah dibakar hidup-hidup setelah dia tiba di bandar Aljazair Tizi Ouzou, iaitu salah satu kawasan yang paling teruk dilanda kebakaran hutan.
Memetik laporan Middle East Eye, lelaki berusia 35 tahun itu telah melakukan perjalanan ke bandar itu dari Miliana, Ain Defla iaitu 150km di sebelah barat Algiers, untuk membantu memadamkan kebakaran dan memindahkan penduduk yang berada dalam kawasan bahaya.
Namun, setelah berhempas pulas mengerahkan tenaga membantu kebakaran itu, dia telah dituduh melakukan kebakaran dan ditangkap oleh beberapa orang lelaki.
Video yang telah tular di media sosial memperlihatkan Jamal telah ditarik dari kereta polis sebelum dipukul.
Beberapa saat sebelum dibakar, badannya dilihat mengalami lebam dan dia terbaring kaku di atas tanah. Gambar badannya yang hangus juga telah dikongsikan secara meluas dalam media sosial.
Difahamkan, rakan-rakannya telah menggunakan media sosial untuk menafikan dakwaan penglibatannya dalam kebakaran hutan itu. Sebaliknya, mereka mendakwa bahawa rakan mereka itu telah pergi wilayah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan.
Lebih menyentuh hati, Jamal juga dikatakan telah mengumpulkan derma sehari sebelum berangkat ke Tizi Ouzou untuk memberikan bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran.
“Dia sangat prihatin terhadap semua manusia yang ditemuinya,” kata seorang rakannya.
Beberapa jam sebelum kematiannya, Jamal dikatakan telah ditemubual oleh Awraas TV dan bercakap mengenai bantuan kepada penduduk di situ.
“Saya datang dalam keadaan bersolidariti bersama orang-orang kita dan berharap agar rakyat Algeria yang lain turut bersama-sama memainkan peranan,” katanya.
Pembunuhannya itu telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan warganet di negara itu dan para aktivis juga menyatakan kekesalan mereka ke atas tindakan yang dianggap sebagai tidak masuk akal, selain kecewa dengan orang ramai yang pandai membuat hukum sendiri.
#جمال_بن_اسماعيل الله يرحمه pic.twitter.com/zUeIukC2bD
— Baktache Merouane (@BaktacheMerouan) August 12, 2021
“Apa yang mereka lakukan adalah tindakan biadab,” kata seorang wartawan.
Sementara itu, The News Arab melaporkan bahawa pihak berkuasa mengatakan mereka mengesyaki bahawa hutan-hutan di negara itu telah dibakar dengan sengaja berdasarkan api yang merebak dengan cepat.
Mereka juga telah mengumumkan bahawa ada beberapa orang suspek yang terlibat namun identiti tidak didedahkan.
Sumber: Middle East Eye, The News Arab