Mungkin ramai antara kita mempunyai ‘lokasi rahsia’ untuk menyimpan wang baik di dalam peti besi ataupun di celah tilam. Bagi seorang lelaki di Thailand, usahanya menyembunyikan wang simpanan daripada sang isteri tidak bertahan lama gara-gara kucing peliharaan mereka yang membongkarkan lokasi ‘rahsia’ itu kepada si isteri secara tidak sengaja.
Memetik Manila Papers, seorang wanita bernama Bow Kanuengnuch telah berkongsi kisah itu ke media sosial miliknya, menceritakan detik terbongkarnya lokasi rahsia tersebut.
Menurut Bow, dia telah bertanya kepada si suami mengenai wang untuk membayar perbelanjaan rumah, namun begitu lelaki itu mendakwa tidak mempunyai wang.
Wanita itu mendakwa dia mempercayai si suami, pun begitu masih mengharapkan lelaki itu mempunyai sedikit wang untuk membayar bil.
Walau bagaimanapun, suatu hari, kucing peliharaan wanita itu ‘menemui’ sebuah kotak yang dipenuhi wang dalam rumah tersebut.
Dikhabarkan, kucing tersebut telah memanjat almari rumah mereka sebelum secara tidak sengaja menyebabkan kotak ‘rahsia’ itu terjatuh, menyebabkan wang berselerak.
“Kucing saya panjat almari dan tolak kotak yang suami sorokkan di situ,” katanya yang terhibur dengan gelagat kucing yang seakan tidak bersalah.
Kongsi wanita itu, suaminya telah mengumpul wang 100 Baht dalam kotak tersebut dan mempunyai simpanan berjumlah 2,000 Baht (kira-kira RM253.50).


Sumber: Bow Kanuengnuch via Manila Papers