Seorang lelaki yang risau akan keadaan abang iparnya kerana tidak menjawab panggilan telefonnya telah bertindak nekad menghubungi pihak polis bagi membantunya memeriksa keadaan abang iparnya itu di sebuah rumah yang terletak di Taman Gunung Mas, di sini, malam semalam.
Memetik laporan Kosmo, mangsa yang merupakan bekas pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi telah ditemui mati tergantung di rumah berkenaan oleh pihak polis.
Menurut adik ipar kepada mangsa, dia telah cuba untuk menghubungi abang iparnya itu pada waktu petang selepas isterinya gagal untuk menghubunginya sejak dari pagi.
“Jadi dekat nak senja saya datang ke rumah ini dan saya lihat dalam rumah gelap sahaja. Saya bagi salam tapi tak berjawab. Saya panggil dua kali tapi tak disahut juga. Jadi saya balik untuk solat Maghrib dahulu.
“Pukul 8 malam, saya datang sini balik dan meminta bantuan rakan tapi kami tetap tak dapat lihat ke dalam rumah. Saya terus menghubungi polis kerana bimbang sesuatu berlaku pada abang,” memetik laporan Kosmo.
Menerusi keterangan daripada adik iparnya itu, mangsa dilaporkan mengalami masalah kemurungan dan masalah itu bertambah buruk selepas perceraian pada bulan Mei lalu.
Sumber: Kosmo