Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Pemandu Lori Maut Kemalangan Di Nilai

SEREMBAN, 17 Ogos (Bernama) – Seorang pemandu lori berumur 25 tahun maut selepas lori dipandunya merempuh sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Persiaran Negeri, Nilai dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata lelaki berumur 25 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah di kepala dalam insiden kira-kira pukul 6.20 petang.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila lori satu tan yang dalam perjalanan menghala ke Nilai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Lori itu kemudiannya melanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun sehingga menyebabkan pemandu kereta itu mengalami kecederaan di kepala, dan pemandu kereta itu dibawa ke Nilai Medical Center untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata mayat pemandu lori itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk dibedah siasat dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BERNAMA

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.