Satu gambar yang memaparkan seramai 640 orang warga Afghanistan berhimpit di dalam jet kargo Amerika Syarikat (AS) bagi melarikan diri dari Taliban di Kabul telah berlegar di internet.
Gambar tersebut menunjukkan situasi di dalam pesawat selepas video orang ramai yang berpusu-pusu untuk berpaut pada pesawat tersebut pada Ahad tular di media sosial.
Pesawat yang mampu memuatkan seramai 150 tentera atau kargo seberat 171,000 kilogram itu telah dikejar oleh warga Afghanistan yang ketakutan ketika mereka berusaha untuk melarikan diri dari negara mereka.
Krew Tentera Udara AS C-17 yang bernombor RCH 871 “mengambil keputusan untuk berlepas” walaupun penumpang berlebihan, kata seorang pegawai yang tidak disebutkan namanya.
AS telah menerbangkan sekurang-kurangnya dua jet kargo C-17 dari ibu kota itu dan dijangka akan memperbanyakkan lagi penerbangan pada minggu ini.
Rakaman audio komunikasi dari dalam pesawat dengan penwal trafik udara pada awalnya menyatakan bahawa terdapat 800 penumpang, namun Defense One menyatakan hanya terdapat 640 penumpang ketika mereka turun.
Ketika pesawat tersebut sedang bersiap untuk berlepas, beratus-ratus orang telah berlari menuju ke pesawat.
Gambar yang memaparkan kejadian itu muncul setelah video mengerikan yang menunjukkan orang terjatuh dari pesawat yang berlepas daripada lapangan terbang Kabul tersebar di internet.
Insiden itu terjadi selepas pesawat pengangkutan C-17 itu berlepas keluar dari negara itu setelah Taliban mengisytiharkan kemenangan di Afghanistan.
Dilaporkan bahawa dua orang yang berusia 16 dan 17 tahun maut selepas terjatuh dari pesawat tersebut.
Satu lagi video yang dimuat naik memaparkan penduduk setempat mengumpulkan mayat mereka.
Sehingga kini, kejadian huru-hara di Lapangan Terbang Kabul itu dilaporkan telah menyebabkan tujuh orang maut dan lebih ramai lagi dijangka akan memanjat tembok lapangan terbang tersebut untuk melarikan diri.
Sumber: The Scottish Sun