Siakap Keli
Kredit: IndiaTimes

Atas Dasar Cinta Katanya, Lelaki Sanggup Menyamar Jadi Kekasih Untuk Jawab ‘Exam’

Sejauh manakah anda sanggup berkorban demi kekasih hati? ‘Pengorbanan’ seorang lelaki yang berasal dari Senegal ini betul-betul besar walaupun pada akhirnya tidak berjaya.

Lelaki yang berusia 22 tahun itu dilaporkan sanggup mengenakan pakaian wanita untuk menjawab peperiksaan bagi pihak teman wanitanya. Dia yang juga merupakan seorang pelajar universiti telah melakukan hal tersebut atas dasar cinta walaupun tahu perbuatannya itu boleh mengakibatkan penangkapan dan pelbagai tuduhan.

Kredit: IndiaTimes

Teman wanitanya berumur 19 tahun yang merupakan seorang pelajar sekolah menengah. Dia sepatutnya perlu menduduki ujian peperiksaan lulus sekolah menengah bagi subjek Bahasa Inggeris, namun takut sekiranya gagal. Justeru itu, lelaki tersebut dipercayai ingin membantu teman wanitanya menjawab soalan-soalan peperiksaan selama beberapa hari.

Menurut sumber dari media tempatan, dia mengenakan pakaian wanita seperti rambut palsu, sarung kepala, gaun, baju dalam, subang dan bersolek supaya kelihatan seperti kekasihnya. Lebih menariknya lagi, rancangan mereka itu berjalan dengan lancar selama tiga hari.

Akan tetapi, ibarat kata pepatah “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua” apabila rancangan mereka  terbongkar pada hari keempat dan telah dihadapkan ke pihak penyelia di pusat peperiksaan. Lelaki tersebut ditahan setelah penyelia peperiksaan mendapati terdapat kecurigaan pada penampilannya. Penyelia tersebut kemudiannya memanggil pihak polis tempatan.

Kredit: IndiaTimes

Laman berita iHarare melaporkan bahawa pihak polis tiba di pusat peperiksaan dan menahan lelaki itu. Setelah disoal siasat, lelaki tersebut membawa pegawai penyiasat ke bilik motel yang telah disewa dan mendapati teman wanitanya sudah pun menunggu. Pihak polis kemudiannya telah menahan pasangan kekasih tersebut atas kesalahan melakukan penipuan.

Mereka berkemungkinan dilarang mengambil peperiksaan Pendidikan Nasional selama lima tahun. Tidak hanya itu, mereka turut disekat daripada menduduki peperiksaan Diploma di institut pengajian awam.

Sumber: IndiaTimes

Hanis Lyana

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.