COVID-19 sememangnya pandemik yang sangat menakutkan sehingga membuatkan lelaki yang telah bertapa di dalam gua selama 20 tahun keluar untuk mendapatkan vaksin.
Panta Petrovic yang berasal dari Serbia dilaporkan keluar mendapatkan vaksin kerana takut virus tersebut akan merebak ke gua dan menjangkitinya.
Memetik laporan India Times, Petrovic telah mendapat tahu mengenai COVID-19 semasa dalam perjalanan ke pasar di kampung halamannya di Pirot pada tahun lalu.
Apabila dia sedar mengenai bahaya virus itu, dia mengatakan bahawa dia perlu mendapatkan vaksin secepat mungkin dan kini dia bersyukur kerana telah mendapatkannya.

“Ini tidak boleh terjadi, ia (COVID-19) akan datang ke gua saya juga nanti,” katanya.
Lelaki itu juga mengatakan bahawa dia tidak faham kekecohan mengenai anti vaksin yang tidak mahu menerima vaksin.
“Saya ingin mendapatkan ketiga-tiga dos, saya menggesa setiap warganegara untuk mendapatkan vaksin,” katanya.
Sementara itu, ‘rumahnya’ hanya dapat diakses dengan melakukan pendakian yang sangat curam. Dia hidup di dalam gua itu berbekalkan bantuan yang diberikan kepadanya termasuk bantuan makanan dan keperluan untuk haiwan peliharaannya.

Ditanya mengapa tinggal di gua itu, Petrovic mengatakan bahawa dia tidak merasa bebas ketika tinggal di bandar.
“Di bandar, akan ada perkara yang selalu menganggu fikiran anda termasuk apabila berdebat dengan isteri, jiran atau polis. Justeru, saya tinggal di sini kerana tiada siapa yang menganggu saya,” katanya.
Difahamkan, lelaki yang berusia 70 tahun itu bekerja sebagai buruh sebelum dia memutuskan untuk berpindah ke gua itu.
Kini, dia menghabiskan hidupnya seharian dengan mencari sisa makanan dari tong sampah, pergi memancing di sungai dan memakan cendawan.
Di dalam gua itu, dia juga mempunyai tab mandi lama yang sudah berkarat dan dijadikan sebagai tandas, beberapa bangku dan jerami sebagai tempat tidurnya.
Sumber: India Times