Beberapa nelayan di Amerika membangkitkan kemarahan orang ramai apabila rakaman mereka menggunakan jerung untuk membuka tin bir tular di internet.
Lapor NY Post, kejadian itu dipercayai berlaku di Florida, melibatkan jerung spesies sand tiger shark yang ditangkap mereka.
Menerusi klip tular, salah seorang daripada mereka dilihat memegang mulut jerung manakala seorang lagi meletakkan tin bir di dalam mulut ikan tersebut, dipercayai ingin membuka tin itu dengan gigi jerung berkenaan.
Tin itu kemudiannya melekat di dalam mulut ikan tersebut sebelum jatuh dan dikutip oleh nelayan terlibat dan meminumnya.

“Sekadar berseronok,” kata salah seorang nelayan kepada pihak media, tulis NY Post.
Tindakan itu menerima kecaman dari media sosial di mana ramai berpendapat tindakan itu sebagai ‘kurang ajar’ dan bersifat mendera.
“Jerung tu didera. Ia cuba bernafas,” tulis salah seorang penonton seperti dipetik NY Post.
“Saya suka memancing, tapi ini biadab terhadap ikan,” tulis komen lain.
Memetik National Marine Fisheries Service, tindakan menangkap ikan secara tidak berhati-hati boleh menyebabkan kematian kepada spesies itu selepas dilepaskan semula ke laut.
“Graviti di atas permukaan air menyebabkan tekanan pada ikan dan merendahkan peluang ia hidup selepas dibebaskan.
“Mengamalkan penangkapan dan pelepasan penuh berhati-hati adalah penting kerana ia boleh mengurangkan jumlah ikan yang mati selepas dilepaskan.”

Sumber: NY Post