Seorang lelaki dilaporkan maut selepas terjatuh daripada permainan Sky Ride di sebuah taman tema di Utah, lapor The Sun.
Menurut portal itu, saksi melihat lelaki berusia 32 tahun itu bergayut pada kerusi permainan setinggi 50 kaki (anggaran 15.24 meter) berkenaan sebelum terjatuh.
Memetik kenyataan polis tempatan, dia disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital pada Isnin lalu.
Salah seorang saksi berkata, dia pada mulanya menyangka lelaki tersebut merupakan ahli gimnastik yang sedang membuat pertunjukan lagak ngeri sebelum merakam ‘aksi’ lelaki berkenaan pada Sabtu.
Pada masa yang sama, kedengaran orang ramai menjerit pada lelaki itu sementara permainan tersebut membawa mangsa merentasi jalan yang dilitupi pokok-pokok.
Kedua-dua tangan lelaki itu dilihat berpaut pada penghadang keselamatan kerusi permainan itu manakala mangsa dilihat memerhati sekeliling.
Lapor portal itu, pihak polis telah menerima beberapa panggilan kecemasan sebelum jam 6 petang selepas lelaki itu terjatuh.
Mangsa dilaporkan telah dibawa ke hospital University of Utah menaiki helikopter dalam keadaan keritikal.
“Malam tadi saya tak dapat tidur fikirkan lelaki itu. Saya doakan dia. Saya harap dia sembuh,” ujar saksi kejadian kepada media tempatan.
Pun begitu, pihak polis mengesahkan mangsa meninggal dunia pada Isnin. Jelas polis, mereka percaya kejadian itu adalah secara tidak sengaja manakala tiada kerosakan pada permainan itu.
“Kami tak tahu kenapa dia buat atau apa yang terjadi,” ujar wakil polis, Wayne Hansen.
Mangsa dilaporkan pergi ke taman tema itu bersama ahli keluarganya.
Menurut dakwaan pihak taman tema tersebut, mereka menjalankan pemeriksaan terhadap peralatan di sana setiap hari Sabtu pagi dan tiada kejadian tidak diingini pernah berlaku sejak ia dipasang pada 1974.
Kejadian masih lagi dalam siasatan.
Sumber: The Sun