Siakap Keli
Gambar: USA Today & Egypt Independent

Pentadbiran Biden Beku Simpanan Afghanistan, Halang Taliban Dapat Akses RM39.7 Bilion

Pihak pentadbiran Biden telah membekukan simpanan Afghanistan dalam bank Amerika Syarikat (AS), Ahad lalu. Tindakan ini dipercayai untuk menyekat Taliban daripada mendapat akses kepada simpanan berbilion dollar tersebut.

“Sebarang aset kerajaan Afghanistan dalam simpanan Bank Pusat di AS tak akan diberikan kepada Taliban,” kata jurucakap Jabatan Perbendaharaan AS.

Keputusan tersebut dibuat pihak Perbendaharaan AS, bersama Setiausaha, Janet Yellen.

Bank pusat Afghanistan menyimpan $9.4 bilion aset negara atau kira-kira RM39.7 bilion sehingga April lalu.

Menurut laporan Washington Post, AS enggan mengulas lanjut tentang proses pembekuan dana tersebut atau status bantuan ekonomi kepada Afghanistan. Malah di mana dana tersebut disimpan juga masih menjadi tanda tanya.

Sebelumnya, AS turut memperuntukkan $3 bilion (RM12.7 bilion) setahun untuk  pertahanan tentera Afghanistan, yang mana ia setara dengan 15 peratus pengeluaran kasar negara itu.

Memetik laporan Washington Post, pendanaan AS terhadap Afghanistan juga dijangka berhenti, termasuk $20 juta (RM84.7 juta) dana untuk merekrut pasukan pertahanan wanita.

Setiausaha Jeneral NATO, Jens Stoltenberg berkata dalam sidang media semalam, “Kami telah menghentikan segala bantuan kepada Afghanistan, termasuk bantuan kewangan kerana Afghanistan tiada kerajaan untuk kami bantu.

“Tiada dana disalurkan, tiada bantuan disediakan,” katanya.

Sementara Presiden Joe Biden dalam ucapannya Isnin lalu berkata, “Kami akan terus menyokong penduduk Afghanistan.

“Kami akan menanganinya dengan diplomasi, menggunakan pengaruh kami terhadap dunia, dan bantuan kemanusiaan yang kami ada.”

Taliban sehingga kini masih berdepan tuduhan kerana tragedi 11 September yang menggemparkan AS 20 tahun lalu.

Menurut bekas pegawai tadbir Obama, sehingga AS berbuat sesuatu atas pertuduhan tersebut, status bantuan terhadap Afghanistan masih belum menemui titik terang.

Sumber: Washington Post

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.