SHAH ALAM, 18 Ogos (Bernama) — Polis menahan tujuh lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah serta mencuri pakaian uniform berserta dengan aksesori seorang pegawai kanan polis di sebuah taman perumahan di kawasan Telok Panglima Garang Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata semua suspek yang berusia awal 20an itu ditahan di Taman Telok Panglima Garang semalam, hasil maklumat orang awam.
“Susulan soal siasat, suspek menunjukkan tempat penyimpanan barang-barang hasil pecah rumah mereka di sekitar Telok Panglima Garang, termasuk sebuah kenderaan curi jenis Proton Wira, alat-alat pecah rumah, peralatan tukang dan sepasang uniform pegawai kanan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketujuh-tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, curi kabel Telekom Malaysia, samun dan penyalahgunaan dadah manakala ujian saringan air kencing menunjukkan kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
Ahmad Ridhwan berkata dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan 20 kes pecah rumah, kedai dan kecurian kabel di kawasan Kuala Langat.
“Kesemua suspek direman selama tiga hari di Lokap Balai Polis Banting selepas perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok Banting dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sumber: BERNAMA