Pihak berkuasa Palestin dilaporkan telah menghantar empat pasukan pemadam kebakaran untuk membantu Israel pada Selasa, ketika kebakaran terus marak di kawasan Jerusalem.
Menurut The Times of Israel, empat trak Pertahanan Awam Palestin dan 20 anggota bomba telah bergabung dalam usaha untuk memadamkan api yang marak melintasi bukit dan bandar di barat Jerusalem sejak Ahad lalu.
Jurucakap Awam Palestin, Leftenan Kolonel Nael Azza mengatakan bahawa ini merupakan kali keempat dalam beberapa tahun kebelakangan ini pasukan bomba Palestin bergabung dengan Israel untuk bersama bertindak balas terhadap bencana alam.
Untuk rekod, 21 anggota bomba Pertahanan Awam Palestin telah membantu Israel dalam bencana kebakaran hutan Carmel pada tahun 2010.

Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang telah menghantar trak dan anggota bomba bagi memadam kebakaran.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahmoud Abbas atas inisiatifnya untuk menghantar anggota bomba dan membantu Israel hari ini. Saling membantu dan menyelamatkan nyawa manusia adalah kepentingan bersama bagi kita semua,” katanya menerusi kenyataan di Twitter.
Tidak cuma itu, Menteri Luar Negeri, Yair Lapid juga turut memuji usaha Palestin untuk membantu Israel melawan kebakaran.
כבאיות של הרשות הפלשתינית עושות את דרכן לסייע בכיבוי השריפות בהרי ירושלים. תודה על שיתוף הפעולה! מעריכים. pic.twitter.com/rhtsYvGd6c
— יאיר לפיד – Yair Lapid🟠 (@yairlapid) August 17, 2021
“Anggota bomba Palestin dalam perjalanan untuk membantu memadamkan kebakaran di bukit Jerusalem. Terima kasih atas kerjasama anda, kami menghargainya,” kata Lapid.
Difahamkan, anggota bomba Israel dan Palestin juga telah beberapa kali melakukan latihan bersama seperti sesi latihan di Jenin pada 2019.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Israel telah memohon bantuan dari sekutu antarabangsa untuk memadamkan kebakaran yang dianggap terburuk dalam sejarah itu.
Sumber: The Times of Israel