SEREMBAN, 19 Ogos (Bernama) — Hasrat seorang pemuda untuk mendirikan rumah tangga dalam masa tiga minggu lagi tidak kesampaian apabila meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di simpang lampu isyarat Jalan Seremban-Paroi berhampiran Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dekat sini, hari ini.
Abang mangsa, Mohammad Faisal Radhuan 33, berkata beliau tergamam mendapat berita kemalangan membabitkan adiknya, Khairil Anwar, 27, yang berkerja sebagai penghantar makanan Foodpanda daripada seorang kawan pagi tadi.
“Adik saya sudah dua tahun lebih berkerja sebagai penghantar makanan sementara mendapat pekerjaan yang sesuai. Persiapan perkahwinan beliau juga sudah siap, tinggal menunggu surat kebenaran berkahwin dari jabatan agama sahaja,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata motosikal mangsa dilanggar sebuah kereta Perodua Alza dipandu seorang lelaki yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Paroi menuju Seremban pada jam 10.55 pagi tadi.
“Ketika tiba di simpang empat lampu isyarat, kereta itu terus bergerak dan tidak sempat mengelak mangsa yang datang dari simpang sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Said berkata akibat kemalangan itu mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mohd Said berkata mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: BERNAMA