Kurus belum tentu sihat. Mungkin anda ada kawan yang tetap kurus walau selalu ‘sumbat’ segala jenis makanan tak kira masam, manis, pedas mahupun berlemak hingga buatkan anda cemburu.
“Dia tak payah susah-susah diet dan bersenam pun tetap kurus,” mungkin ini yang terdetik di fikiran anda ketika melihat rakan yang seorang itu.
Namun demikian, rakan anda mungkin mempunyai risiko penyakit yang sama, malah dikhuatiri tidak sedar akan kewujudan lemak-lemak tersembunyi yang sekian lama bersarang di dalam tubuhnya.
Menurut Public Health Malaysia, individu sebegini mungkin mengalami situasi TOFI, iaitu Thin Outside, Fat Inside.
Ia berlaku berikutan kewujudan lemak dan kolesterol yang berkumpul pada organ dalaman tanpa disedari. Situasi ini pastinya berbahaya kerana ia tidak dapat dikesan melainkan dengan prosedur atau saringan kesihatan di klinik atau hospital.
Jom baca perkongsian Public Health Malaysia di bawah.
Anda pasti kenal mana mana individu yang makan dengan banyak, suka makanan segera dan minuman manis.. tetapi badan mereka sentiasa maintain kurus.
Tidak perlu cemburu kerana tubuh yang kurus itu, tidak semestinya SIHAT.
Walaupun memiliki berat badan ideal, tanpa disedari, akibat pemakanan dan gaya hidup, lemak mereka tersembunyi bersama organ orang penting di abdomen.
Situasi ini dikenali sebagai TOFI. “Thin Outside, Fat Inside”.
Hal ini, menjelaskan persoalan mengapa individu yang kurus turut menghidap penyakit penyakit metabolik seperti,
- Kencing Manis
- Darah Tinggi
- Tinggi Kolesterol
- Penyakit jantung dan strok
Jika anda perasan, individu TOFI ini tidak cergas, cepat penat dan kadang kala nampak pucat. Situasi stress dan kurang tidur menyebabkan paras kortisol meningkat dan seterusnya meningkatkan lagi pengumpulan lemak di organ.
TOFI sukar dikesan. Lemak tersembunyi itu hanya boleh dilihat menerusi ujian imbasan MRI atau ujian darah untuk mengesan paras kolesterol, gula dan fungsi organ.
Lebih bahaya, akibat sentiasa langsing, mereka tidak mengawal pemakanan dan tidak menjaga kesihatan. Mereka juga tidak pergi menjalani ujian saringan kesihatan seperti orang lain.
Kesimpulannya, tubuh kurus tidak bermakna anda lolos dari risiko penyakit metabolik. Makanlah dengan kadar sederhana.. kurus bukan lesen untuk tidak menjaga kesihatan.

Jadi, jangan terlalu seronok jika kurus. Anda tetap perlu jaga pemakanan anda dan jalani saringan kesihatan berkala.
Sumber: Public Health Malaysia