Salah satu pemalar yang sering digunakan di dalam matematik adalah nilai Pi yang merupakan nisbah lilitan bulatan dengan diameternya. Nama Pi berasal dari huruf ke-16 dalam abjad Yunani dan telah digunakan oleh ahli matematik untuk mewakili pemalar sejak awal abad ke-18.
Seperti yang diketahui selama ini, nilai Pi adalah bermula dengan 10 digit pertama iaitu 3.141592653. Pun begitu, ia tidak dapat dinyatakan sebagai pecahan biasa dan mempunyai bilangan perpuluhan yang tidak terbatas.
Baru-baru ini, para penyelidik di Switzerland dilaporkan telah memecahkan rekod dengan mendapatkan nilai paling tepat bagi Pi iaitu dengan 62.8 trilion angka.
Menurut Live Science, penyelidik dari University of Applied Sciences of the Grisons itu telah menggunakan komputer di Competence Center for Data Analysis, Visualization and Simulation (DAViS).
Bagaimanapun, rekod itu masih belum disahkan secara rasmi oleh Guinness World Records.
“Memecahkan rekod hanyalah kesan sampingan dari tugas kami dalam menyediakan infrastruktur komputer berprestasi tinggi untuk bekerja dalam penyelidikan dan pembangunan,” kata penyelidik utama, Thomas Keller.
Mengetahui lebih banyak digit Pi dikatakan tidak begitu penting untuk matematik, tetapi mengira nilai Pi hingga ketepatan tinggi telah lama digunakan sebagai penanda aras untuk menguji daya pemprosesan komputer.
Menurut Guinness World Records, sistem pengkomputeran Google Cloud telah mengira nilai pemalar hingga lebih dari 31 trilion tempat perpuluhan pada tahun 2019.
Ia diikuti oleh rekod 50 trilion tempat perpuluhan yang telah dilakukan oleh pengasas North Alabama Charitable Computing, Timothy Mullican dengan menggunakan komputer peribadinya.
Pasukan DAViS pada kali ini pula tidak hanya memecahkan rekod Mullican tetapi juga telah melakukannya dengan tempoh waktu yang lebih singkat iaitu selama 108 hari 9 jam berbanding Mullican iaitu selama 303 hari.
Sumber: Live Science