Siakap Keli

TERKINI: Aktiviti ‘Dine-In’ Dibenarkan Di Negeri Fasa 1 Bermula Esok

(DIKEMAS KINI) Individu yang telah lengkap menerima dos suntikan vaksin Covid-19 di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), dibenarkan untuk makan di restoran dan kedai makan (dine-in) bermula esok (Jumaat).

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran tersebut adalah kemudahan tambahan kepada sektor sosial dan ekonomi bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis.

“Saya ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

“Risiko penyebaran virus Covid-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar,” katanya.

BACA: Aktiviti Berkelah & Berkhemah Dibenarkan Di Negeri PPN Fasa 1 Bagi Individu Lengkap Vaksin

Dalam pada itu, pemilik premis kedai makan perlu memastikan mereka yang memasuki premis untuk menikmati hidangan mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat,” tambahnya.

Setakat ini, negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN adalah Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor selain Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sumber: FB Muhyiddin Yassin

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.