Satu video memilukan memaparkan rakyat Afghanistan berusaha ‘melemparkan’ bayi melepasi kawat berduri dalam keadaan panik bagi melepaskan diri dari Taliban telah berlegar di internet.
Video tersebut menunjukkan suasana orang ramai yang berhimpit bersesakan di sebuah pagar yang mempunyai kawat berduri di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai.
Ketika kamera beralih ke kanan, seorang kanak-kanak terlihat diangkat ke udara dan ditolak ke hadapan ke arah pagar di lapangan terbang Kabul itu.
From early afternoon outside Kabul Airport, #Afghanistan.
People are so desperate they are trying to hand over their children so they can at least escape the country.
No words. pic.twitter.com/CnyPgka8bl
— Alex Tiffin (@RespectIsVital) August 18, 2021
“Orang ramai sangat terdesak untuk menyelamatkan diri daripada Taliban sampai sanggup bawa bayi dan anak-anak mereka ke pagar di lapangan terbang tersebut,” tulis seorang pengguna sosial media.
Menurut laporan laman berita Sky News, seorang pegawai kanan menggambarkan situasi di Kabul itu sebagai sesuatu yang sangat menyedihkan.
“Sangat teruk sekali, ada wanita yang cuba melemparkan bayi mereka melepasi kawat berduri dan merayu kepada askar supaya ambil anaknya itu.
“Ada diantara mereka yang tercedera terkena kawat berduri itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang wanita Afghanistan menyatakan bahawa suaminya telah menyertai Taliban dan memukulnya ketika dia cuba untuk melarikan diri dari negara itu.
“Afghanistan adalah Taliban, Taliban adalah pengganas. Suami saya adalah seorang pengganas Talib,” ujarnya.
Wanita tersebut berjaya melepasi pagar kawat berduri itu selepas menarik tangan anak perempuannya.
Menurutnya, dia ingin meninggalkan negara tersebut dan pergi ke mana sahaja yang selamat.
“Ke mana-mana sahaja! Ke mana-mana negara!” katanya.
Pejuang Taliban kini dikatakan menggunakan senjata, cemeti serta kayu untuk menghalang rakyat Afghanistan dari ke lapangan terbang Kabul.
Sekitar 20,000 pelarian Afghanistan dilaporkan akan diberikan perlindungan di UK selama lima tahun akan datang selepas pihak kerajaan UK mengumumkan rancangan untuk membantu mereka yang melarikan diri dari Taliban.
Sumber: Mirror