Seekor singa yang dikesan berkeliaran di beberapa batang jalan di Phnom Penh, Kemboja, sengaja dibebaskan oleh seorang pekerja yang tidak berpuas hati kerana dipecat, lapor United Press International pada semalam.
Singa yang bernama Hei Man itu telah menjadi tajuk berita utama di negara terbabit selepas haiwan tersebut disita oleh pihak berkuasa dan dikembalikan kepada pemiliknya yang merupakan seorang ahli perniagaan, pada awal Julai.
Singa itu dikesan berkeliaran pada Isnin lepas di beberapa jalan di Phnom Penh dan beberapa saksi sempat menangkap gambar serta merakam video haiwan itu sebelum berjaya ditangkap semula seterusnya dikembalikan ke pemiliknya.
Pemiliknya, Zhai, seorang ahli perniagaan yang tinggal di Kemboja, menyatakan bahawa Hei Man telah dilepaskan oleh seorang bekas pekerjanya yang tidak berpuas hati selepas dipecat.
Menurutnya, pekerja tersebut dipecat kerana menipu dan sebagai balasan dia telah melepaskan singa tersebut.
Perdana Menteri, Hun Sen menyatakan ketika Hei Man dikembalikan kepada tuannya pada awal bulan Julai, pemiliknya telah bersetuju untuk menyimpan haiwan itu di dalam kandang yang bersesuaian sebagai syarat haiwan eksotik peliharaannya itu dipulangkan.
Tidak dapat dipastikan sama ada Zhai akan dikenakan tindakan undang-undang atau tidak.
Sumber: United Press International