Susulan kejadian banjir di Kedah, timbul pelbagai spekulasi mengenai punca sebenar berlakunya bencana itu. Antara yang beredar termasuk gambar aktiviti pembalakan yang dikatakan berlaku di Gunung Jerai.
Terpanggil untuk memberikan klarifikasi, pemilik gambar yang merupakan salah seorang pasukan penyelamat tampil memberi penjelasan.
Bukan bekas pembalakan
Isu kes batang pokok yang saya potong seperti dalam gambar ni dah jadi isu besar. Sampai ada yang bertengkar dan maki hamun disebabkan berbeza pandangan politik.

Sekali lagi saya nak bagitahu, semasa saya sampai di lokasi titi Tupah, pokok ni bersama pokok-pokok lain ada atas titi depan PGA.
Atas kapasiti saya sebagai seorang RESCUE, saya ambik inisiatif untuk potongkan kerana ia menghalang laluan team penyelamat untuk sampai ke taman bersebelahan walaupun ada wayar voltan tinggi bersama timbunan pokok tu.
Semasa saya sampai di lokasi, ada satu ambulans tiba untuk ambik pesakit sebelah sana. Jadi akibat ambulans tak boleh lalu, saya terus ambil chainsaw dan potongkan pokok yang berada di atas titi ni.
Saya juga terima bantuan dari orang awam yang ada kat situ bagi mengalih batang pokok yang saya potong termasuk lah papan tanda.
Cuma saya, orang awam dan beberapa anggota tentera yang rumah mereka berdekatan buat kerja bersama. Saya potong, depa alihkan.
Di sini saya ingin jelaskan sekali lagi, pokok yang jadi isu tu adalah bekas keratan dari chainsaw saya. Cuba lihat gambar yang saya bulatkan tu. Bekas potong dan bukannya bekas pembalakan.

Yang pastinya, kedua-dua hujung batang yang menjadi isu ni tiada langsung bekas potong.
Ada pulak yang kata, macam mana chainsaw kecil boleh potong pokok besar. Itu terletak pada skill pemotong. Caranya potong sebelah-sebelah.
Ada yang kata team TNB dan JKR yang potong. Itu saya tak tahu. Yang saya tahu TNB angkat balik wayar yang berada di bawah timbunan pokok yang saya potong tu. Kalau depa tolong potong juga Alhamdulillah. Jadi, sama-sama kita bantu.
Jadi post saya ni adalah untuk memberitahu apa yang berlaku semasa itu bagi mengelak dari fitnah berleluasa. Jujur cakap, bab RESCUE Ni saya tak masuk mana-mana politik dan selama saya tubuhkan team RESCUE ni, saya tak pernah terima sumbangan dari mana-mana parti. Hanya sumbangan orang awam je saya terima.
“Gambar longgokan pokok di Yan tu, ni penjelasan saya..”
Lagi satu, ada gambar longgokan pohon-pohon pokok yang terkena kediaman di Yan tu ni penjelasan saya. Sebenarnya pohon pokok tu adalah pokok yang tumbuh di tepi-tepi anak sungai yang mengalir dari atas gunung. Apabila tekanan air terlalu kuat, ia menyebabkan pokok-pokok ni semua tercabut dan dibawa arus kepala air.

Jadi kepada sahabat-sahabat saya yang duduk jauh dari lokasi bencana, elok dapatkan dulu cerita yang sahih.
“Saya kena cakap benda betul walaupun pahit untuk orang terima”
Saya yang berada di lokasi Tupah dan titi hayun pun rasa malu apabila melihat sesama kita bergaduh, walhal yang bergaduh tu sesetengahnya tak datang pun ke lokasi apatah lagi memberikan bantuan.
Saya kena cakap benda yang betul walaupun pahit untuk orang lain terima.
Selama saya menubuhkan NGO saya sendiri iaitu Skuad Sg Petani Respon Team, dah pelbagai aktiviti dan bantuan telah kami lakukan.
Di lokasi ini juga saya bersama team RESCUE lain bawa turun 28 peserta dari Ipoh, Perak terkena kepala air pada tahun 2018. Sampai di bawah jam lebih kurang tiga pagi dan kena ingat, kawasan ni juga ada makhluk Allah yang lain tinggal.
Dan lagi satu, kepada team RESCUE dari seluruh Malaysia yang tiba di lokasi bencana, harap jaga diri dan patuhi SOP.
Sumber: Mohd Amir Faizal