PUTRAJAYA, 19 OGOS 2021 – Pada hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kadar migrasi menurun 0.1 mata peratus kepada 1.5 peratus bagi tempoh 2019-2020. Statistik ini disusun berdasarkan Survei Migrasi yang dijalankan oleh DOSM pada 2020 yang menerbitkan statistik tahunan berkaitan kadar migrasi, migrasi dalaman dan antarabangsa. Laporan Survei Migrasi ini memperihalkan statistik utama migrasi mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi antaranya jantina, kumpulan umur, strata bandar dan luar bandar, kumpulan etnik, pencapaian pendidikan, pekerjaan dan industri. Penduduk bermigrasi dalam laporan ini ditakrifkan sebagai penduduk di mana lokasi kediaman biasanya berbeza pada dua titik waktu dalam satu tahun dan tidak termasuk mereka yang berhijrah dalam unit lokaliti yang sama.
Menurut Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, “Survei Migrasi 2020 dilaksanakan bermula Januari hingga Disember 2020. Pandemik COVID-19 mula dikesan di negara ini pada 24 Januari 2020 dan kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac 2020 bagi mengawal penularan pandemik ini. Selain itu, perjalanan rentas sempadan negeri dan daerah tidak dibenarkan sehingga Mei 2020. Berikutan pengurangan bilangan kes baharu harian COVID-19, pada 10 Jun 2020, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan membenarkan perjalanan rentas negeri dan daerah sehingga Disember 2020. Namun begitu, perjalanan rentas sempadan negeri dan daerah adalah dilarang bagi kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Larangan aktiviti perjalanan ini memberi kesan kepada corak pergerakan penduduk Malaysia”.
Mengulas lanjut, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Dapatan daripada Survei Migrasi bagi tahun 2020, terdapat 1.5 peratus penduduk berumur satu tahun dan lebih yang berhijrah pada tahun 2020. Kadar tersebut menyusut 0.1 mata peratus berbanding 1.6 peratus pada 2018. Bilangan migran menurun sebanyak 40.0 ribu orang kepada 484.1 ribu orang berbanding 524.1 ribu orang pada 2018. Sementara itu, migrasi dalam negeri pada 2020 merekodkan penurunan 2.4 mata peratus berbanding 60.8 peratus pada 2018. Sebaliknya, migrasi antara negeri menunjukkan peningkatan 2.7 mata peratus kepada 31.2 peratus pada 2020 daripada 28.5 peratus pada 2018. Komposisi migrasi antarabangsa dari luar negara ke Malaysia direkodkan 10.4 peratus, menyusut 0.3 mata peratus berbanding 10.7 peratus pada 2018”.
Ketua Perangkawan Malaysia berkata “Bagi senario migrasi dalaman, penduduk bermigrasi dalam negeri lebih tinggi daripada penduduk bermigrasi antara negeri. Migrasi dalam negeri menunjukkan 65.2 peratus daripada keseluruhan jumlah migrasi dalaman manakala baki 34.8 peratus adalah migrasi antara negeri. Berdasarkan statistik migrasi dalam negeri didapati negeri Sabah (74.4%), Johor (65.3%) dan Sarawak (60.8%) adalah tiga negeri yang merekodkan peratusan migrasi dalam negeri yang tertinggi”.
Migrasi dalam negeri mengikut aliran migrasi menunjukkan penghijrahan penduduk dari bandar ke bandar kekal tinggi berbanding aliran migrasi lain iaitu meningkat 6.1 mata peratus kepada 73.0 peratus pada 2020 berbanding 66.9 peratus pada 2018. Penduduk berpindah dari luar bandar ke bandar secara tak langsung menyebabkan berlakunya proses pembangunan dan urbanisasi. Perbandaran yang inklusif meliputi pusat ekonomi dan pusat aktiviti rekreasi mendorong penghijrahan migrasi ke kawasan bandar.
Trend penghijrahan penduduk bukan sahaja melibatkan kawasan bandar ke bandar, malah kawasan bandar ke luar bandar. Daripada dapatan survei yang dijalankan, kesemua negeri menunjukkan pergerakan lebih tinggi dari bandar ke bandar. Namun, dua negeri menunjukkan situasi yang berbeza dengan pergerakan penduduk lebih tinggi dari kawasan bandar ke luar bandar iaitu Sabah (49.3%) dan Kelantan (34.6%). Keadaan ekonomi semasa, peluang pekerjaan dan isu kesihatan berikutan penularan wabak COVID-19 dengan penutupan operasi perniagaan dan aktiviti perlancongan turut mempengaruhi penduduk untuk berhijrah ke kawasan luar bandar. Inisiatif kerajaan menubuhkan Koridor Pembangunan Ekonomi Baru iaitu Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah menjadi faktor penarik penduduk untuk berhijrah masuk ke kawasan yang menerima suntikan pelaburan dan pelan pembangunan kerajaan.
Sementara itu, W.P. Putrajaya terus mencatatkan migrasi antara negeri tertinggi pada tempoh yang sama iaitu 100.0 peratus diikuti oleh W.P. Kuala Lumpur (78.4%) dan Terengganu (48.4%). W.P. Putrajaya yang mencatatkan paras urbanisasi 100 peratus terus relevan sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan melalui penawaran peluang kerja serta pemilikan hartanah di samping pelbagai kemudahan awam yang komprehensif di kawasan metropolitan yang telah menjadi tarikan penduduk berhijrah ke W.P. Putrajaya.
Johor merekodkan pergerakan masuk migran dalaman tertinggi dengan jumlah migran masuk seramai 100.5 ribu orang. Seramai 22.6 ribu orang migran masuk ke Johor manakala 10.7 ribu orang keluar. Sebahagian besar migran masuk ke Johor berasal dari Pahang (6.1 ribu orang) dan Sarawak (3.8 ribu orang). Johor turut mencatatkan jumlah migran dalam negeri tertinggi iaitu 77.9 ribu orang, diikuti Selangor (67.2 ribu orang) dan Sabah (36.6 ribu orang). Sementara itu, Selangor mencatatkan pergerakan keluar migran dalaman tertinggi iaitu seramai 89.2 ribu orang. Majoriti migran yang keluar dari Selangor berhijrah ke Perak (4.0 ribu orang), diikuti W.P Putrajaya (3.3 ribu orang) dan Kelantan (3.0 ribu orang).
Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengulas lanjut, “Pada 2020, Selangor terus mencatatkan migrasi masuk tertinggi iaitu 29.9 ribu orang, namun begitu bilangannya semakin berkurang berbanding 2018 (34.6 ribu orang). Selangor dan Johor adalah dua negeri yang paling banyak menerima migran dari negeri lain. Analisis menunjukkan faktor persekitaran dan kemudahan asas yang semakin baik di sekitar kawasan metropolitan menjadi antara penyumbang kepada peningkatan migrasi ke Selangor. Pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur berkualiti termasuk ekosistem perniagaan yang baik menyebabkan penduduk bergerak ke luar pusat bandar untuk mencari persekitaran kediaman yang lebih selesa di Selangor. Bagi Johor pula, Pengerang menjadi sebuah bandar bestari dan lestari di bawah inisiatif Pengerang Pintar, Inisiatif Hijau dan Bandar Karbon Rendah menjadi salah satu tarikan migrasi masuk ke Johor.
Manakala, W.P. Kuala Lumpur terus merekodkan negeri tertinggi migrasi keluar iaitu 22.2 ribu orang pada 2020 berbanding 2018 (25.0 ribu orang). Faktor penyumbang kepada penghijrahan keluar penduduk dari Kuala Lumpur ke negeri terdekat adalah perumahan yang lebih selesa dan kos sara hidup yang lebih rendah”.
Melihat kepada ciri-ciri demografi bagi migrasi dalaman, penduduk di dalam kumpulan umur 25 hingga 34 tahun adalah golongan utama bermigrasi iaitu 33.5 peratus dan diikuti kumpulan umur 15 hingga 24 tahun (25.3%). Dari segi jantina, lelaki mendominasi dengan menyumbang sebanyak 53.8 peratus dan bakinya wanita sebanyak 46.2 peratus.
Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menambah, “Sebab-sebab utama penduduk bermigrasi pada 2020 ialah mengikut keluarga (45.3%). Ini diikuti dengan kerjaya (23.6%) dan persekitaran (22.3%). Ini telah menjadi sebab utama aliran migrasi sejak 2016 hingga 2020. Ini jelas menunjukkan migrasi merupakan alternatif untuk perkembangan kerjaya dan peningkatan taraf hidup”.
Merumuskan keseluruhan situasi pada tahun 2020, Ketua Perangkawan berkata, “Peristiwa yang tidak dijangka pada tahun 2020 telah mewujudkan eksternaliti positif bagi mengurangkan risiko penduduk tempatan untuk berhijrah dengan meningkatkan prasarana kemudahan komunikasi, antaranya dengan meningkatkan kemudahan internet terutama di kawasan luar bandar. Sepanjang tahun 2020, PKP telah menyebabkan ramai tenaga kerja diarahkan untuk Bekerja Dari Rumah (BDR). Analisis awalan daripada survei ini menunjukkan hanya 0.1 peratus daripada penduduk bekerja yang tidak berada di tempat kerja biasa menyatakan bahawa mereka telah berhijrah. Ini menunjukkan sepanjang tempoh PKP, terdapat populasi di negeri selain dari negeri tempat kerja biasa mereka tetapi bukan disebabkan oleh migrasi. Ini mungkin disebabkan oleh BDR”.
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai. Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita. Sila layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.