Rata-rata mereka menzahirkan ucapan tahniah itu menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook dan Twitter rasmi masing-masing.
Antaranya, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Syukur Alhamdulillah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan setinggi-tinggi penghargaan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong serta seluruh Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi Facebook rasminya.
Turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden UMNO itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang berharap Ismail Sabri dapat meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19 demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta negara.
Presiden MIC Tan Sri S. Vigneswaran menerusi catatan ringkas di Facebook berkata: “Sekalung tahniah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan Perdana Menteri kesembilan”.
Dalam pada itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan menyatakan PAS menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan pelantikan Ismail Sabri dan mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera itu atas pelantikan tersebut.
“PAS menyeru semua pemimpin dan rakyat untuk menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong ini bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara,” katanya.
Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam hantaran di Twitter yakin Ismail Sabri akan meneruskan usaha membina Malaysia yang gagah dan berwibawa.
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata beliau yakin pelantikan Ismail Sabri itu akan dapat memimpin negara ke arah Malaysia yang lebih maju dan sejahtera.
“Dengan berakhirnya kemelut ini, saya mengajak semua pimpinan, sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang supaya tetap memberi fokus terhadap usaha menangani pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan.
Turut menzahirkan ucapan tahniah menerusi Facebook rasmi ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata proses pelantikan perdana menteri yang dijalankan secara tertib dengan mengambil kira pandangan Raja-Raja Melayu serta suara Ahli-Ahli Parlimen mencerminkan kebijaksanaan Seri Paduka dalam menangani krisis politik supaya tidak terus berlarutan.
“Kami menyeru semua pihak untuk bermuhasabah dan mengambil teladan daripada penzahiran harapan Seri Paduka supaya semua pihak menghentikan polemik politik serta mengetepikan perbezaan bagi memastikan kemashalatan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyifatkan pelantikan Ismail Sabri sebagai satu sinar kekuatan baharu kepada seluruh rakyat dalam mengharungi cabaran berkaitan pengurusan kesihatan, ekonomi dan kestabilan negara.
“Lakukanlah yang terbaik demi Malaysia. Saya dan seluruh kepimpinan negeri Melaka sememangnya percaya beliau mampu menyudahinya dan kami sentiasa bersama beliau,” katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dalam catatan yang dimuat naik di Facebook mengalu-alukan pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.
“Saya mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Walau bagaimanapun saya berasa kecil hati dan terguris apabila mereka yang mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya Mei 2018 tidak memperoleh mandat itu semula,” katanya
Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam hantaran di Twitter berkongsi inti pati perbualannya menerusi panggilan telefon dengan Ismail Sabri dan mengucapkan tahniah atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook turut mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri dan berharap kerajaan yang baru dibentuk ini bekerja keras untuk menangani krisis COVID-19 serta memulihkan semula ekonomi negara.
“Saya akan teruskan kerja dan politik khidmat sebagai Ahli Parlimen Pembangkang. Sebagai Ahli Parlimen, tugas dan tanggungjawab hakiki saya adalah untuk terus membawa idea dasar dan polisi serta melaksanakan semak imbang ke atas setiap keputusan kerajaan untuk kebaikan rakyat,” katanya sambil mengucapkan ‘All the best’ (semoga berjaya) dalam catatan itu.
— BERNAMA