Siakap Keli

Waris Penghantar Makanan Terima Faedah Di Bawah Dua Skim Perkeso

KLANG, SELANGOR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini menyampaikan  faedah PERKESO kepada waris penghantar makanan GrabFood yang maut dalam satu kemalangan jalan raya pada 11 Ogos lalu.

Kejadian malang tersebut berlaku apabila Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin Mat Nazir, 21 tahun, yang sedang dalam perjalanan untuk membuat penghantaran makanan bertembung  dengan sebuah lori di Shah Alam, Selangor. Akibat nahas tersebut, Allahyaham disahkan  meninggal dunia akibat mengalami kecederaan teruk pada bahagian dada dan abdomennya.

Allahyarham yang berasal dari Klang, Selangor merupakan anak keempat dari tujuh beradik.  Semasa hayatnya, Allahyarham bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang  secara sepenuh masa di samping turut bekerja sebagai penghantar makanan secara separuh  masa, bagi menambah pendapatan untuk menanggung kedua ibu bapa dan adik-beradiknya yang masih belajar.

Selain mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) melalui pekerjaan  sepenuh masanya, Allahyarham Nazirul turut mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial  Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO menerusi program SPS Lindung. Allahyarham telah  dibantu oleh platform penyedia perkhidmatan beliau, GrabFood untuk mendaftar dengan SPS  Lindung sejak 1 Julai 2021. Caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan dan  membolehkan warisnya menerima bantuan faedah di bawah kedua-dua skim ini.

Waris Allahyarham iaitu bapanya, Mat Nazir Abu Hassan, seorang tukang cuci dan ibunya, Norlis  Husin, suri rumah serta tiga orang adiknya iaitu Nurnadiah Mat Nazir, 18, Nurnasuha Mat Nazir,  12 dan Asma’ Abdullah, 10, layak menerima dua faedah PERKESO iaitu Faedah Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT). Waris Allahyarham juga turut menerima  bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000. 

Faedah telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri PERKESO, Tn. Hj.  Azhar Md Nadzri di rumah waris Allahyarham. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Komunikasi,  Encik Izad Hj Raya; Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi, Encik Ismail Abi Hashim; dan  Pengurus Pejabat PERKESO Klang, Encik Mohanadas Veraya.

SPS Lindung merupakan bantuan Kerajaan di bawah Belanjawan 2021 berbentuk pembiayaan penuh (100%) Pelan Caruman Kedua SKSPS PERKESO iaitu sebanyak RM232.80. Ia menyediakan perlindungan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) daripada bencana pekerjaan termasuklah penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan untuk tempoh perlindungan selama setahun. Skim ini menyediakan faedah tunai seperti FOT yang dibayar kepada tanggungan OBS sekiranya mereka meninggal dunia akibat bencana pekerjaan. Skim ini turut menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional kepada OBS yang ditimpa musibah semasa bekerja.

Pencen Penakat pula adalah faedah Skim Keilatan di bawah Akta 4 yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans (OB) PERKESO meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan. Antara syarat Pencen Penakat adalah meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman.

Siti Fatimah