Seorang pelajar di Itali telah meraih perhatian warga maya dengan tindakan “kreatifnya” apabila dia membuat tatu sijil vaksinasi Covid-19 di bahagian lengan. Andrea Colonnetta yang berusia 22 tahun itu mengatakan bahawa dia tidak berfikir lama untuk membuat tatu tersebut setelah berbincang dengan seorang artis yang dikenali sebagai Gabriele Pellerone.
“Ini pastinya sesuatu yang asli dan saya suka kelainan,” kata Colonnetta yang berasal dari bandar selatan Reggio Calabria itu kepada akhbar Corriere della Calabria. Kini, bahagian bawah lengan kirinya mempunyai matriks kotak hitam kod QR pas hijau rasmi Itali.

Pas tersebut memberikan bukti bahawa dia sudah mendapatkan kedua-dua dos vaksin, telah pulih daripada Coronavirus atau disahkan negatif dalam 48 jam terakhir. Ia diwajibkan di negara Itali bermula 6 Ogos sebagai lanjutan daripada sijil digital Covid EU untuk memasuki pawagam, muzium, tempat sukan dalaman atau makan di dalam restoran.
Menurut Colonnetta, ibu bapanya agak bingung setelah dia mendapat banyak perhatian di Instagram dan Tiktok. “Sudah pasti mereka mendorong saya untuk menjadi kurang impulsif dan bertindak balas dengan baik terhadap perkara tersebut” katanya kepada akhbar itu.
Sebuah video yang diunggah di akaun Tiktok @Pellerone menunjukkan bahawa tatu barcode ditangannya berjaya apabila Colonnetta memasuki McDonald dan mengangkat lengannya supaya pengawal keselamatan di pintu masuk dapat mengimbas tatu barcode tersebut.
Sumber: Mail Online