Siakap Keli

“Macam Baru Lepas Tsunami,” Misi Bantuan di Yan, Kedah Oleh MAPIM

YAN : Banjir di Yan, Kedah meninggalkan kemusnahan yang besar dan baik pulih juga kerja-kerja pembersihan sedang berlangsung dari semalam.

Sukarelawan dari pihak Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bertungkus lumus membersihkan kawasan kediaman penduduk di Kampung Permatang Keramat dari rumah ke rumah.

Antara rumah yang menjadi tumpuan adalah milik Zulkarnain Abu Bakar, yang tersorok di dalam hutan dan paling teruk dilanda banjir.

Kesemua barang dan harta benda di dalam rumahnya musnah dan tidak boleh digunakan lagi. Tempat berteduh yang didiami empat orang sekeluarga itu dimasuki air mencecah paras leher.

“Saya baru balik kerja masa kejadian berlaku. Sampai-sampai tengok habis teruk rumah masuk air dah sampai paras leher dah. Tak ada apa-apa yang boleh diselamatkan lagi,” katanya ketika ditemubual Ummah Today.

Walaupun dengan musibah berat yang menimpa, Zulkarnain masih mampu mengukir senyuman di wajahnya. Boleh dikatakan 90 peratus barangan dalam rumahnya rosak tidak boleh digunakan lagi.

Kehadiran pihak Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menjalankan Misi Pasca Banjir di Yan, Kedah mampu meringankan beban Pak Zulkarnain.

Pak Long Zulkarnain mengucapkan terima kasih kepada pihak MAPIM kerana sudi membantu.

“Terima kasih sangat-sangat lah kepada MAPIM dan semua yang datang tolong ni. Kami dah buntu sangat nak mintak tolong siapa lagi bantu bersihkan semua ni,” katanya.

Disebabkan selut pasir yang terlalu tebal, mereka tepaksa menggunakan jengkaut mini bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan selut danlumpur tersebut.

Pak Long Zulkarnain yang bekerja sebagai penyapu sampah, tinggal bersama tiga orang anaknya, dan zaman Covid-19 ini benar-benar menjadi cabaran besar untuk keluarganya.

Pendapatannya kecil, namun baginya sudah memadai bagi mengisi perut ahli keluarganya setiap hari.

Dalam Misi Pasca Banjir MAPIM Malaysia yang masih berlangsung, sudah hampir 40 buah rumah telah dibersihkan dengan kerjasama MAPIM Rangers dan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) MAPIM Malaysia.

Oleh Hafeez Anuar

Siti Fatimah