Pasti ramai yang terhibur jika melihat gelagat haiwan bersikap seakan manusia. Tak kiralah sama ada ia haiwan jinak mahupun liar, kadangkala kepintaran mereka membuatkan kita terpana dan kagum seketika.
Baru-baru ini, seorang lelaki telah berkongsi gelagat seekor anak kambing yang gemar tidur di dalam buaian. Kongsi Wan Azlan kepada Siakap Keli, anak kambing peliharaan emaknya itu sememangnya sudah terbiasa tidur di dalam buaian kerana dimanjakan sejak kecil lagi.
“Kambing ni emak yang bela. Memang dia selalu tidur dalam buai. Memang asal ibunya dah manja. Ibunya dulu hisap susu botol sebab mak mati kena langgar.
“Sekarang turun kat anak dia pulak jadi manja macam tu. Lagipun dia memang tak bergaul dengan kambing-kambing lain;” katanya kepada SK.
Dinamakan Ratu, anak kambing yang hampir berusia 2 bulan itu dilihat bersungguh-sungguh cuba untuk masuk ke dalam buaian tersebut dalam satu video dikongsikan Wan.
Malah, jelasnya, si comel itu kebiasaannya akan beradu di dalam buaian berkenaan daripada malam sehingga ke pagi. Betul-betul perangai manusia!

“Ia cuba banyak kali nak masuk sendiri. Kita lebarkan kain tu, ia lompat masuk sendiri. Kadang-kadang memang kita masukkan sebab memang sejak lahir tidur dalam buai. Memang dah diajar,” tambahnya.
“Kambing pun pandai nak tidur dalam buai,” tulis Wan pada ruangan kapsyen video yang dikongsikannya. Setakat artikel ini ditulis, kiriman tersebut telah mendapat lebih 16 ribu perkongsian.
Jom tonton gelagat Ratu di bawah.
Sumber: Wan Azlan