Kemunculan spesies pendatang dalam sungai di negara kita saban hari semakin membimbangkan. Antara bahaya yang menanti adalah spesies tersebut akan menjadi dominan, sekaligus mampu merosakkan ekosistem dan biodiversiti asal hidupan spesies tempatan.
Baru-baru ini, pengkaji bebas, Mohd Ilham Norhakim Lokman bersama rakannya membuat satu tinjauan mengenai ‘kebanjiran’ populasi spesies udang kara air tawar pendatang daripada Australia yang ‘menyerang’ perairan Muar, Johor.
Menurutnya, udang kara air tawar Australia (Australian red claw crayfish) atau nama saintifiknya cherax quadricarinatus ini pada asalnya dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan penternakan komersial.
Bagaimanapun, masalah mula berlaku apabila ia terlepas ke perairan domestik kerana limpahan akibat banjir besar. Selain itu, turut dipercayai wujud sikap tidak bertanggungjawab oleh sesetengah penternak yang melepaskannya secara sengaja atau tidak sengaja.

Akibatnya, kini spesies udang kara pendatang ini telah mula mengancam spesies hidupan air tawar tempatan sehingga menjejaskan ekosistem asal. Justeru, Mohd Ilham dan rakannya turun padang bagi menjalankan misi ini.
Mereka menjalankan eksperimen di sebatang parit yang terletak di Mukim Air Hitam, Muar. Parit ini berada betul-betul di tepi jalan kampung. Lebarnya tidak sebesar mana, tapi apa yang ada di dasarnya sangat mengejutkan.
Menurut sumber orang kampung, populasi beberapa spesies ikan air tawar tempatan di parit tersebut yang menjadi ‘buruan’ selama ini seperti keli limbat, tembakang, kepar, sepat dan lain-lain dipercayai semakin menurun dengan drastik akibat kehadiran udang kara ini.
Maka dengan itu, mereka menjalankan eksperimen (pada waktu malam) dengan melabuhkan 10 buah bubu payung di parit tersebut secara berasingan dan berjarak jauh. Tujuannya adalah untuk mengenal pasti jumlah kasar populasi sebenar udang pendatang tersebut.
Pada malam itu, tiga buah bubu payung diangkat sebentar selepas 30 minit ia diletak. Sangat mengejutkan, kira-kira lebih 40 ekor udang kara berjaya masuk ‘umpan’ dalam masa setengah jam saja.


Justeru pada keesokan paginya, kesemua bubu yang dilabuhkan secara berasingan itu diangkat semula. Malah ada bubu yang sengaja diletak pada jarak 30 tiang lampu, tujuannya untuk membuktikan bahawa udang pendatang ini telah berjaya ‘menjajah’ keseluruhan parit.
Turut serta dalam tinjauan pada pagi itu adalah wakil penduduk Kampung Parit Jawa. Rupa-rupanya, wakil penduduk itu juga telah menyedari akan isu ini dan katanya, banyak ikan tempatan di parit itu didakwa telah pun pupus.
Hasil eksperimen mendapati, kesemua 10 bubu payung mereka berjaya memerangkap hampir 200 ekor udang kara pendatang tersebut. Dakwa Mohd Ilham, itu baru jumlah yang dikesan secara kasar di parit tersebut. Belum lagi di parit-parit di daerah mahupun negeri lain, mungkin berjuta ekor agaknya.
Memandangkan parit itu telah dibanjiri populasi pendatang, wakil penduduk tersebut berpendapat bahawa satu projek melibatkan komuniti perlu dijalankan. Secara asasnya, isu kehadiran udang pendatang ini boleh ditukar menjadi peluang.


Katanya, masalah yang berlaku adalah ekosistem asal telah pun musnah. Tapi peluang yang ada adalah orang kampung boleh menangkap udang-udang ini dan menjualnya di pasaran, sama ada untuk ternakan ataupun dijadikan makanan.
Justeru pada akhir eksperimen, sebahagian udang pendatang yang ditangkap ini dimasak dan cuba untuk dimakan. Begitulah eksperimen mereka pada kali ini.
Untuk rekod, Mohd Ilham yang turut bergelar sebagai Ichthyologist Kampung Style telah mengembara ratusan ribu kilometer di seluruh negara untuk merekod spesies ikan-ikan asli Malaysia.
Beliau juga pernah membantu rakan-rakan saintis tempatan dan luar negara dalam menjalankan kajian mengenai spesies hidupan air tawar di negara ini. Tidak kurang juga, kajian beliau pernah ditayangkan dalam rancangan dokumentari Simfoni Alam di TV1.
Bagi mengetahui kajian-kajian lanjut mengenai spesies hidupan air tawar, anda boleh mengikutinya di Facebook Mohd Ilham Norhakim Lokman atau Youtube Kim : Ichthyologist Kampung Style.
Mari tonton video penuh tentang eksperimen udang kara pendatang di Muar dalam video di bawah ini.
Sumber: Mohd Ilham Norhakim Lokman melalui Penternak Ikan Air Tawar