Lebih 3.4 juta lelaki yang masih bujang di Jepun dilaporkan tidak akan bertemu dengan pasangan hidup dan berkahwin kerana perbezaan populasi lelaki dan wanita yang ketara di negara itu.
Menurut laporan Yahoo News Japan, dari usia 15 hingga 74 tahun, dapat dilihat bahawa populasi lelaki Jepun lebih ramai daripada wanita.
Kebanyakan lelaki yang belum berkahwin juga didapati meninggal dunia pada sekitar usia 75 tahun.
Data yang dikongsikan oleh portal itu juga menunjukkan bahawa terdapat 3 juta orang yang berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 50 tahun serta 1.45 juta orang dalam lingkungan usia 20 tahun hingga 30 tahun.
Dengan erti kata lain, walaupun semua wanita di seluruh negara itu memutuskan untuk berkahwin, akan ada 3.4 juta lelaki yang tidak akan pernah berkahwin. Keadaan itu dipanggil sebagai ‘fenomena lebihan lelaki’ dan ia disebabkan oleh nisbah kelahiran lelaki-wanita di negara itu.
Ketika di Era Meiji, nisbah kelahiran lelaki-wanita adalah hampir 1.05. Sekiranya 5% lelaki dilahirkan setiap tahun dan berterusan selama 40 hingga 50 tahun, perbezaannya akan terlihat.
Namun, pada Era Pra-Meiji, kadar kematian bayi lelaki sangat tinggi kerana peperangan dan pelbagai penyakit. Kini, dengan rawatan yang betul, kadar kematian lelaki menurun dan itulah yang menyebabkan nisbah lelaki meningkat.
Bagaimanapun, fenomena itu juga bukan sahaja berlaku di Jepun tetapi turut dialami oleh negara-negara besar seperti China, Amerika Syarikat dan India. Boleh dikatakan bahawa ini merupakan waktu yang sukar untuk lelaki yang ingin mencari pasangan dan berkahwin.
Sumber: Yahoo News Japan, Animesenpai