Siakap Keli
Kredit: Mirror

Jiran-jiran Buat Aduan, Wanita Didenda Lebih RM17 Ribu Sebab Bagi Burung Makan

Seorang wanita dilaporkan telah didenda sebanyak  £ 3,000 (RM17 ribu ringgit) setelah jirannya membuat aduan kepada pihak berkuasa. Jirannya itu terpaksa bertindak sedemikian dipercayai akibat tidak tahan dengan sikap wanita itu yang memberi makan kepada burung-burung secara berlebihan.

Menurut laporan, perbuatan memberi makan kepada burung-burung selama bertahun-tahun itu telah mendatangkan pelbagai kesulitan kepada jiran-jirannya sehingga dia terpaksa dihadapkan ke mahkamah awal bulan ini atas kesalahan melanggar notis perlindungan masyarakat.

Seorang ahli majlis tempatan mengatakan bahawa jiran-jirannya bagaikan “hidup di dalam neraka” apabila kira-kira 80 hingga 100 ekor burung akan berkumpul setiap hari untuk mendapatkan makanan daripada wanita itu. Makanan-makanan yang disediakan itu telah mengundang kedatangan banyak tikus di kawasan tersebut, lapor Wales Online.

Kredit: Beritagar

Majlis Vale Of Glamorgan turut mengatakan bahawa mereka yang tinggal di Minehead Avenue, Sully telah mengalami gangguan bunyi bising, ancaman burung camar dan kekacauan burung-burung di rumah dan kebun. Ia juga telah menarik perhatian tikus dan haiwan lain sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.

Sementara itu, ahli Majlis Daerah Tempatan, Kevin Marney menceritakan kepada BBC Radio Wales, “Ini adalah kisah yang sangat menyedihkan. Dia telah didenda untuk kali kedua kerana membuat hidup jiran-jirannya sangat ngeri selama lebih 20 tahun.

Dia meletakkan begitu banyak makanan burung menyebabkan kira-kira 80 hingga 100 ekor burung merpati dan burung camar berkumpul di atas atap. Ini telah membawa masalah besar kerana muncul banyak tikus di taman dan jiran-jiran tidak dapat duduk di taman mereka kerana risau kotoran yang disebabkan oleh burung-burung tersebut.”

Kredit: Mirror

Beliau menambah, “Perabot di taman mereka perlu dibersihkan dengan pembasmi kuman. Mereka juga tidak boleh meletakkan pakaian dan tikus sentiasa berkeliaran di pergelangan kaki anak-anak mereka. Ini adalah saat-saat yang mengerikan dan menyedihkan buat mereka. Sementara kita dapat menikmati musim panas di taman, mereka tidak boleh keluar dan tidak dapat menikmati suasana di taman mereka sendiri.

Seorang jiran yang terjejas pula berkata, “Peningkatan jumlah burung jelas disebabkan oleh Irene yang memberi makan kepada burung-burung itu. Ia telah meninggalkan banyak kesan kepada diri dan keluarga saya akibat makanan yang dijatuhkan oleh burung camar. Masalah kian berterusan apabila terdapat kotoran burung di kereta, tingkap, mesin basuh dan termasuk kotoran yang melekat pada badan kami sendiri,” lapor portal Mirror.

Tambahnya lagi, “Saya dan keluarga tidak dapat makan di luar atau mengadakan barbeque di taman sendiri kerana burung camar dan burung merpati berkumpul di kawasan taman dan harta benda kami. Burung-burung itu juga kadang kala terbang ke bawah untuk mengambil makanan dan membuat kekacauan. Kekacauan yang dibuat telah menyebabkan bumbung dan saluran air kami perlu dibersihkan dengan lebih kerap.”

Portal Mirror turut merakamkan keluhan seorang lagi jiran yang mengatakan, “Sekiranya saya duduk di taman dalam satu jangka masa, saya perlu duduk di bawah payung kerana kekacauan yang dibuat oleh burung-burung itu.”

Eddie Williams yang merupakan anggota kabinet Majlis Vale of Glamorgan, Bahagian Perkhidmatan Undang-Undang, Peraturan dan Perancangan pula berkata, “Kerjasama antara pelbagai agensi, termasuk Safer Vale Partnership dan Shared Regulatory Services telah menyebabkan tuntutan ini berlaku. Individu ini telah menimbulkan masalah yang berterusan kepada mereka yang tinggal di sekitarnya. Walaupun sudah diberi amaran sebelumnya, dia masih melakukan perbuatan yang sama.”

“Saya harap situasi ini dapat memberi peringatan bahawa kita tidak akan bertolak-ansur dengan salah laku dalam masyarakat dan akan mengenakan tindakan yang tegas.”

Menurut portal, kes wanita iu diletakkan di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Kerosakan yang mengharuskan langkah-langkah diambil untuk menjaga tamannya daripada tikus.

Sumber: Mirror

Hanis Lyana

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.