Seorang nelayan di Filipina dilaporkan maut selepas ditarik ke dalam air oleh ikan besar, menyebabkan kepalanya terhantuk pada batu dan lemas, lapor Daily Mail.
Menurut portal itu, Jovy, 31 sedang menangkap ikan menggunakan tombak pada 9 Ogos lalu sebelum tragedi berlaku.
Lelaki itu dikatakan berjaya menikam seekor ikan bersaiz dua kaki sebelum haiwan itu lari bersembunyi di bawah batu-batu.
Akibatnya, tali yang bersambung pada tombak itu berselirat dan melilit kaki mangsa sekaligus menyebabkannya jatuh ke dalam air.

Lantaran ikan dengan berat 5 kilogram itu terus bersembunyi di sebalik batu, mangsa yang terikat tidak dapat melepaskan dirinya untuk terus timbul.
Ujar salah seorang pegawai polis tempatan, keluarga yang khuatir akan kehilangannya telah membuat laporan kepada pihak polis pada keesokan pagi.
“Kami lakukan operasi mencari dan menyelamat, sekaligus menemui jasad mangsa,” katanya.
“Tali melilit tubuh lelaki itu manakala ikan masih berada di bawah batu. Kedua-duanya telah tidak bernyawa ketika kami sampai.”
Sumber: Daily Mail