Musim semua duduk rumah ni, mesti dah rasa rindu sangat untuk keluar dan berjalan-jalan kan. Bayangkan kalau ada alat yang boleh bawa kemana saja korang suka ketika ini, korang akan pilih untuk pergi mana?
Mungkin tak masuk akal, tapi sebenarnya ada je alat atau ‘pintu’ yang dah pun dicipta untuk menghubungkan penduduk di dua bandar.
Tapi ia taklah membolehkan orang ramai untuk berjalan melalui alat itu dan masuk terus ke bandar yang dituju. Ia hanyalah sekadar layar besar dan kamera yang menyiarkan gambar secara langsung di antara kedua-dua bandar.
‘Pintu’ bulat yang seakan ‘portal’ seperti di dalam filem sci-fi, Stargate, itu terletak di bandar Vilnius, Lithuania dan Lublin, Poland. Jarak di antara kedua-dua bandar itu adalah sekitar 600 kilometer atau kira-kira 375 batu.
Memetik laporan The Verge, alat itu dicipta untuk mendorong orang ramai memikirkan kembali mengenai makna perpaduan.

Difahamkan, reka bentuk lingkaran pada alat itu dicipta bertujuan untuk membangkitkan mengenai ‘roda’ waktu dan simbol ilmiah yang terkenal.
Ia adalah projek bersama oleh Benediktas Gylys Foundation, City of Vilnius, City of Lublin, dan Crossroads Center for Intercultural Creative Initiatives dan dibuat selama lima tahun sebelum digunakan pada awal tahun ini, ketika dunia dihimpit pandemik COVID-19.
Penggunaan alat itu dikatakan tepat pada waktunya kerana orang ramai di kedua bandar itu masih boleh merasai dan melihat pemandangan di tempat orang, walaupun sekadar dalam layar saja.
Selain di kedua bandar itu, ada rancangan untuk menambah ‘portal’ di bandar lain pada masa akan datang.
“Dari reka bentuk dan permodelan 3D hingga pengembangan kandungan digital dan cabaran logistik, projek ini memerlukan pasukan yang luas dan multifunctional,” kata pengarah LinkMenu Fabrikas, Adas Meskenas.
Apa pendapat korang mengenai ‘portal’ ini? Best jugak kan kalau ada satu dekat Malaysia.
Sumber: The Verge