Tanggal 31 Ogos bakal menjelang beberapa hari lagi. Sudah tentu aura Hari Merdeka semakin ‘hangat’ dirasai ketika ini. Setiap kali sambutan kemerdekaan, acara yang ‘wajib’ dilakukan kebanyakan rakyat adalah mengibar bendera Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan masing-masing.
Bercakap tentang Jalur Gemilang, mungkin ramai yang belum tahu bahawa pemasanganya pada kenderaan ada tatacaranya tersendiri. Jika bendera ini dipasang pada but atau bonet kereta (tidak berkibar) atau bendera bersaiz kecil (yang berkibar), maka ia dibolehkan.
Namun sekiranya bendera ini dipasang menggunakan tiang atau kayu pada badan kenderaan, kemudian dibiar berkibar ketika kenderaan bergerak, maka ia tidak dibolehkan kerana dipercayai boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Untuk pemahaman lebih mudah, boleh rujuk contoh dalam jurnal mengenai bendera Malaysia oleh Pejabat Perdana Menteri di bawah ini.

Semangat Merdeka, kutip bendera jatuh atas jalan
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial yang memaparkan semangat patriotisme yang wajar dijadikan contoh kepada rakyat negara ini. Seorang lelaki dipercayai rakan kepada pemandu lori (dalam video tersebut) ternampak sehelai bendera Jalur Gemilang yang terjatuh di atas jalan raya.
Mungkin dia menyedari, sebagai rakyat jelata, tidak patut jika dia hanya membiarkan bendera tanah airnya itu dipijak dan dilanggar oleh kenderaan begitu sahaja.
Justeru tanpa melengahkan masa, lelaki tersebut terus keluar dari lori dan bergegas menuju ke tengah-tengah jalan raya yang sibuk itu untuk mengambil Jalur Gemilang tersebut.
Ketika itu, kelihatan banyak kenderaan di situ tidak perasan pun akan ‘kewujudan’ bendera tersebut. Sampaikan lelaki itu terpaksa membuat isyarat ‘perlahan’ kepada kenderaan di laluan tersebut bagi mengambilnya dengan selamat.
Usai Jalur Gemilang sudah berada dalam genggamannya, lelaki berhati mulia berkenaan pulang semula ke lori sambil membawa bendera kecil itu dengan senyuman yang cukup membanggakan.
Akhirnya, sehelai kain bersimbolik maruah negara yang terjatuh di atas jalan itu telah berjaya diselamatkan oleh seorang rakyat biasa. Paling sebak, sebelum menaiki lori semula, dia sempat mengibar bendera kecil itu dengan penuh bangga.
Mari ikuti video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok Itsfiq19 seperti di bawah ini.
@itsfiq19 Selamat hari merdeka #MalaysiaDiHatiku #fyp
Apa kata netizen
Video tersebut telah ditonton oleh netizen lebih 300,000 kali tontonan setakat artikel ini ditulis. Rata-rata netizen sangat kagum akan lelaki ini yang memiliki sifat patriotik yang begitu tinggi.
“Tengoklah reaksinya….” – Fawa
“Bro you got my respect…” – h;name
“Inilah anak Malaysia yang sebenar…” – sipuyu hijau
“….sedih tengok bila tak hargai Jalur Gemilang..” – amni
“…bangga jadi rakyat Malaysia masa dia kibarkan bendera dengan senyum….” – Nathan
Tahniah diucapkan kepada abang ini atas rasa cintanya kepada Jalur Gemilang dan negara. Semoga sikap positifnya ini akan menjadi ikutan dan tauladan buat kita semua. Selamat menyambut Hari Merdeka yang ke-64!
Sumber: TikTok Itsfiq19 / Jurnal Pejabat Perdana Menteri