PUTRAJAYA, 26 OGOS 2021 – Statistik kecenderungan perniagaan bagi suku tahun ketiga 2021 yang diterbitkan pada hari ini, memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang. Statistik ini adalah berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan.
Mengulas berkaitan laporan tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Peniaga lebih pesimis terhadap keadaan perniagaan mereka pada suku tahun ketiga 2021. Petunjuk keyakinan merosot kepada -21.3 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -3.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.”
“Dalam sektor yang diliputi, kesemua sektor menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk suku tahun ketiga 2021 berikutan pandemik COVID-19 yang semakin teruk dan berpanjangan di negara ini. Petunjuk keyakinan bagi sektor Perdagangan Borong & Runcit merosot ke trajektori negatif dengan -39.4 peratus berbanding +5.6 peratus pada suku tahun kedua 2021 disebabkan oleh peniaga yang kurang berkeyakinan terhadap keadaan perniagaan mereka untuk tempoh tiga bulan akan datang bagi kedua-dua subsektor iaitu Perdagangan Borong dan Perdagangan Runcit. Sementara itu, sektor Industri dan Perkhidmatan menunjukkan lebih pesimis dengan petunjuk keyakinan masing-masing menyusut kepada -11.0 peratus dan -22.8 peratus pada suku tahun ketiga berbanding -1.5 peratus dan -6.1 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya. Pada masa yang sama, sektor Pembinaan juga menjangkakan keadaan perniagaan mereka merosot pada suku tahun rujukan dengan -45.0 peratus berbanding -30.5 peratus yang dicatatkan pada suku tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara keseluruhan, imbangan bersih -12.9 peratus menunjukkan pertubuhan meramalkan pendapatan kasar mereka akan merosot, di mana 23.6 peratus pertubuhan menjangkakan hasil kasar meningkat untuk suku tahun ketiga sementara 36.5 peratus menunjukkan sebaliknya. Pada masa yang sama, 39.9 peratus pertubuhan meramalkan hasil kasar mereka kekal sama. Dari segi pekerjaan, majoriti pertubuhan (76.5%) meramal untuk mengekalkan pekerja mereka untuk suku tahun rujukan. Sebanyak 8.5 peratus pertubuhan menjangkakan pengambilan pekerja yang lebih ramai, manakala 15.0 peratus berhasrat untuk mengurangkan tenaga kerja seterusnya mendorong kepada imbangan bersih -6.5 peratus untuk suku tahun ketiga 2021.
Melihat kepada sentimen bagi enam bulan ke hadapan, peniaga pesimis terhadap prospek perniagaan mereka bagi tempoh Julai hingga Disember 2021 dengan imbangan bersih keseluruhan -21.7 peratus berbanding +11.0 peratus yang direkodkan bagi tempoh April hingga September 2021. Sama seperti jangkaan untuk tiga bulan mendatang, kesemua sektor menjangkakan prospek negatif dengan sektor yang merekodkan pesimis yang paling kecil adalah Industri. Sektor Industri menjangkakan keadaan perniagaan merosot dari +12.5 peratus kepada -11.8 peratus untuk separuh kedua tahun 2021. Pada masa yang sama, sektor Perkhidmatan dan Pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang memberangsangkan untuk enam bulan akan datang dengan imbangan bersih masing-masing -14.2 peratus dan -24.2 peratus berbanding +8.4 peratus dan +6.1 peratus dicatatkan bagi tempoh April hingga September 2021. Sektor Perdagangan Borong & Runcit turut meramalkan prestasi perniagaan yang mencabar dalam tempoh enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -59.7 peratus berbanding +12.5 peratus yang direkodkan sebelumnya.
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai. Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita. Sila layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.