Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad dilantik menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini, menggantikan menteri terdahulu, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Pelantikan beliau selaku menteri agama itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi pengumuman khas barisan jemaah Kabinet baharu secara langsung kira-kira 11 pagi tadi.
BACA: Tak Terpilih Dalam Kabinet Baharu, Dr. Zulkifli Ucap Tahniah Kepada Idris Ahmad
Namun mungkin ramai yang belum tahu, Ustaz Idris Ahmad ini juga sebenarnya merupakan salah seorang ‘geng’ Group Facebook Suami Masak Apa Hari Ini? atau dikenali sebagai SMAHI.
Sebelum ini, kerap juga beliau memuat naik foto ketika sedang ‘beraksi’ di dapur rumah bersama lauk, kuali dan senduk di tangan ke group SMAHI untuk perkongsian umum.
Justeru, bersempena pelantikannya sebagai menteri agama hari ini, pengerusi dan juga pengasas SMAHI, Rodk Raymee mewakili geng para suami di group tersebut mengucapkan sekalung penghargaan buat Ustaz Idris.
“Tahniah YB Senator Haji Idris Ahmad atas pelantikan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Kami di group Suami Masak Apa Hari Ini? amat berbangga atas pelantikan kerana YB salah seorang member SMAHI yang aktif post di dalam group ini dan diharapkan YB dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan baik.
“Harap YB post juga masakan ketika menjadi menteri sebab mungkin aromanya berbeza dari sebelum ini. Gurau je YB,” katanya dalam satu kenyataan di SMAHI hari ini.
Menerusi ruangan komen, ‘perjalanan’ Ustaz Idris dari dapur rumah ke Kabinet di Putrajaya ini mendapat sokongan dan kata-kata semangat yang padu daripada warga SMAHI keseluruhannya.

Sumber: Suami Masak Apa Hari Ini