SHAH ALAM, 27 Ogos (Bernama) — Lebih 4,000 Orang Asli dewasa di Selangor masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.
Exco Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bekerjasama dalam mengesan dan memberi suntikan kepada mereka di Hospital Orang Asli di Gombak.
“Ada antara (Orang Asli) yang takut dan tidak percaya,” katanya ketika menggulung pertanyaan ahli-ahli DUN di sini hari ini.
Beliau berkata setakat 22 Ogos lalu, kadar vaksinasi Orang Asli bagi populasi dewasa di negeri tersebut telah mencapai 67.12 peratus atau seramai 9,633 individu telah menerima sekurang-kurangnya dos vaksin pertama dan daripada jumlah itu, 6,818 individu telah lengkap menerima dua dos vaksin.
Hee berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) ingin mengetahui berhubung jangkitan dan vaksinasi COVID-19 dalam kalangan Orang Asli di negeri ini.
Sehingga 22 Ogos lalu, juga seramai 613 individu Orang Asli dijangkiti COVID-19 daripada 20,737 jumlah penduduk masyarakat itu di Selangor.
Dalam pada itu Hee berkata sehingga Mac lalu, sebanyak 10 buah hotel telah ditutup operasi sepenuhnya, manakala 38 buah hotel ditutup sementara susulan impak pandemik COVID-19 khususnya pada tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya melalui laporan status operasi hotel di Selangor yang diterima dari pihak Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Selangor Chapter juga, sebanyak 1,032 pekerja industri perhotelan di Selangor telah terkesan dari segi pendapatan di mana 60 peratus daripadanya kehilangan pekerjaan, 40 peratus diberikan cuti tanpa gaji atau dikenakan potongan gaji di antara 20 hingga 50 peratus.
Beliau menjawab isu yang dibangkitkan Juwairiya Zulkifli (PH-Bukit Melawati) berhubung impak COVID-19 kepada industri pelancongan dan perhotelan serta berapa jumlah pekerja yang diberhentikan pekerjaan akibat penutupan hotel susulan pandemik berkenaan.
Sidang DUN ditangguhkan sehingga 10 pagi, 30 Ogos depan.
Sumber: BERNAMA