Siakap Keli
Gambar: Natipah Abu

Sedekah Jumaat: NGO Rayu Sumbangan Awam RM25,000 Beli Van Jenazah Terpakai

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Menguruskan jenazah adalah salah satu amalan fardhu kifayah bagi umat Islam. Seperti yang kita tahu, setiap jenazah yang diuruskan bermula dari kamar mandi sehingga ke liang lahad, segalanya memerlukan kos.

Antara kelengkapan ‘wajib’ yang diperlukan sepanjang prosesnya termasuklah kain kapan, batu nisan, khidmat van jenazah, khidmat tukang gali kubur dan seumpamanya. Namun apa yang nak diceritakan hari ini adalah mengenai van jenazah.

Aktivis masyarakat, Natipah Abu hari ini memaklumkan tentang sumbangan Sedekah Jumaat bagi membeli sebuah van jenazah untuk kegunaan badan bukan kerajaan (NGO) di Perak.

Difahamkan, pihak mereka telah cuba mencari sumbangan sejak beberapa bulan yang lalu. Namun mungkin rezekinya ‘belum sampai’, sumbangan tersebut dikatakan masih jauh untuk mencapai sasaran.

Mari ikuti perkongsian Sedekah Jumaat oleh Natipah Abu seperti di bawah ini.

Sedekah Jumaat: van jenazah

Keperluan: RM25,000
Sumbangan ke: Maybank Natipah Abu 552107617521

Gambar: Natipah Abu

Sebuah NGO di Perak memanjangkan hajat untuk memiliki dan menguruskan sebuah van jenazah secara percuma kepada komuniti setempat mereka.

Pihak mereka sebelum ini telah mengambil inisiatif sendiri dengan melancarkan kempen kutipan dana bagi pembelian sebuah van baharu untuk tujuan tersebut.

Dukacita, beberapa bulan berlalu, belum rezeki mereka. Jumlah kutipan masih jauh daripada jumlah sasaran. Maka itulah hajat tersebut dipanjangkan kepada kita.

Berdasarkan pengalaman, maka kita mencadangkan supaya membeli sebuah van terpakai sahaja kerana kebiasaannya penggunaan van jenazah ini hanya pada tahap minima.

Sebelum ini, melalui Sedekah Jumaat juga, kita pernah sama-sama berjemaah mengumpul dan membeli dua buah van jenazah serta telah diwakafkan di Kedah dan Perlis.

Hari ini, kita memerlukan RM25,000 untuk membeli sebuah van terpakai yang mana urusan pembelian akan dibuat oleh pihak mereka, manakala pembayaran pula akan dibuat terus kepada penjual oleh pihak kita.

Mudah-mudahan niat suci kita hari ini akan dipermudahkan-Nya dan semoga saham akhirat ini membawa kita kepada husnul khatimah hendaknya. Amin.

Terima kasih daripada hati yang tulus ikhlas kepada semua penyumbang Sedekah Jumaat di luar sana. Alhamdulillah atas istiqamah kita.

Mari hulurkan sumbangan

Justeru, jika ada yang sudi menyumbang, sumbangan boleh disalurkan kepada Natipah Abu melalui nombor akaun 552107617521 (Maybank) atas nama NATIPAH ABU.

Semoga sumbangan ikhlas ini untuk permudahkan urusan fardhu kifayah mereka menjadi saham kita di Akhirat kelak. Amin.

Sumber: Natipah Abu

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'