Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mengucapkan tahniah di atas pemilihan Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad yang menggantikan beliau di bawah pembentukan Kabinet baharu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Menerusi satu kenyataan, Zulkifli turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua barisan jemaah Kabinet baharu yang dilantik sebentar tadi.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Barisan Kabinet baru telah pun diumumkan oleh YAB Perdana Menteri.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua barisan Kabinet, khususnya kepada YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Tak dilupakan, YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary selaku Timbalan Menteri,” katanya.
BACA: Dari Dapur Ke Kabinet Menteri, Geng ‘Suami Masak Apa Hari Ini’ Ucap Tahniah Kepada Idris Ahmad
Dalam pada itu, Zulkifli turut menitipkan kata-kata maaf buat semua pihak yang pernah berada di bawah naungannya sebelum ini.
“Mohon maaf kepada semua barisan agensi-agensi agama peringkat Persekutuan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri andai ada yang saya terkasar bahasa sepanjang kita sama-sama berkerja.
“Doa saya moga negara yang kita cintai ini terus makmur, maju dan bangkit kembali pada era endemik Covid-19,” ujarnya.
Jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kini disandang oleh Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang juga ahli Dewan Negara, Senator Idris Ahmad.
Idris merupakan antara muka baharu yang dipilih untuk berada di dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.
Sumber: FB Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri